Kadang-kadang, perkara kecil yang muncul di media sosial boleh mencuri perhatian ramai. Lebih menarik apabila aksi spontan seorang kanak-kanak bukan sahaja menghiburkan netizen, malah turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX).
Menerusi video yang dikongsikan oleh pengguna Threads, @cikgeboo, kelihatan seorang anak kecil sedang membuat persembahan dikir barat dalam satu majlis konvokesyen yang dipercayai berlangsung di Senawang, Negeri Sembilan.
Apa yang mencuri perhatian adalah gelagat bersahaja kanak-kanak tersebut ketika menghayati persembahannya. Dengan penuh semangat, adik ini dilihat begitu menjiwai setiap gerak dan suasana dikir barat sehingga membuatkan penonton media sosial turut terhibur.
PMX Puji Anak Kecil Yang Menjiwai Dikir Barat
Lebih menarik, video berkenaan turut mendapat perhatian PMX yang meninggalkan komen ringkas tetapi cukup bermakna.
“Menjiwai betul 😅
Seronok tengok anak-anak hidupkan budaya kita,” tulis beliau.
Komen tersebut nyata mengundang keterujaan pengguna Threads. Mana tidaknya, bukan setiap hari aksi comel anak kecil yang kita tonton di media sosial mendapat perhatian orang nombor satu negara.
Ruangan komen juga dibanjiri pelbagai reaksi netizen yang rata-ratanya terhibur melihat aksi kanak-kanak itu. Ada yang memuji keberaniannya, malah tidak kurang juga yang seronok melihat PMX sendiri meluangkan masa memberikan respons terhadap video tersebut.
Budaya Tradisional Jangan Sampai Dilupakan
Dalam kesibukan mengejar trend moden, persembahan seperti dikir barat sebenarnya masih mempunyai tempat tersendiri dalam masyarakat.
Lebih menggembirakan apabila generasi muda mula menunjukkan minat terhadap seni warisan ini sejak kecil. Kalau bukan kita yang memperkenalkannya kepada anak-anak, siapa lagi?
Nampaknya, adik ini bukan sekadar mencuri perhatian penonton konvokesyen, tetapi turut berjaya menceriakan warga Threads. Kecil-kecil sudah ada aura penghibur!














