Nama Lesleyy Cheam sekali lagi menjadi perhatian apabila dikaitkan dengan jejaka dikenali, Ishraq Kamrudin. Lebih menarik, Ishraq bukan calang-calang individu beliau merupakan anak kepada Kamarudin Meranun, antara figura penting di sebalik kejayaan AirAsia.
Segalanya mula hangat diperkatakan selepas Ishraq memuat naik sebuah video istimewa sempena ulang tahun kelahiran Lesleyy. Dalam kapsyen penuh emosi itu, dia menulis ucapan yang cukup manis. Lebih mencuri perhatian, Ishraq turut menyelitkan ayat “still boyfriend in training”, seolah-olah memberi bayangan hubungan mereka kini sedang berkembang ke fasa yang lebih serius.
“Selamat Hari Lahir kepada satu-satunya insan istimewa saya, @lesleyycheam.
Yang entah bagaimana sentiasa memahami saya tanpa saya perlu menjelaskan banyak perkara. Hidup terasa lebih ringan, lebih lucu, dan lebih tenang bila awak ada. Awak seiring dengan langkah saya, mencabar saya untuk jadi lebih baik, dan pada masa yang sama masih kelihatan menawan tanpa perlu mencuba. Saya sentiasa bersyukur dengan kehadiran awak.
Ucapan ini sebenarnya sangat lewat (17 Mac 😅). Terlalu sibuk dengan pelbagai perkara dan masih ‘boyfriend in training’… tapi lebih baik lambat daripada tidak langsung.”
Sudah Lama Dilihat Bersama
Sebenarnya, ini bukan kali pertama mereka berdua dilihat bersama. Jika diteliti di media sosial, MURAI lihat , baik Ishraq mahupun Lesleyy sering berkongsi momen kebersamaan di pelbagai acara dari majlis eksklusif hinggalah ke outing santai. Ini secara tidak langsung menguatkan lagi spekulasi bahawa hubungan mereka bukan sekadar kawan biasa.
Untuk yang mungkin belum kenal, Lesleyy merupakan model dan ratu cantik yang pernah dinobatkan sebagai Miss Universe Malaysia 2022. Beliau juga mewakili Malaysia ke pentas Miss Universe 2022 yang berlangsung di New Orleans.
Dengan latar belakang glamor dan personaliti yang memikat, tidak hairanlah Lesleyy sering menjadi perhatian ramai termasuk dalam soal hati.
Petanda Ke Arah Lebih Serius?
Menariknya, ada peminat yang sudah mula “mengusik” tentang soal jodoh dan bertanya bilakah pasangan ini akan melangkah ke jinjang pelamin. Namun, respon Ishraq cukup ringkas, hanya emoji berdoa.
Walaupun tiada pengesahan rasmi, reaksi tersebut dilihat sebagai satu petanda positif oleh netizen.
Jadi, Betul Ke Bercinta?
Setakat ini, kedua-duanya masih belum mengesahkan status hubungan secara terbuka. Namun dengan kapsyen romantik, kemunculan bersama di pelbagai acara, serta “hint” yang diberi, ramai yang percaya mereka sememangnya sedang hangat bercinta.
Apa pun, peminat nampaknya merestui dan kini hanya menunggu masa untuk pasangan ini membuat pengumuman rasmi.








