Tiada angin tiada ribu, secara tiba-tiba nama pelakon Julia Farhana Marin dan suaminya, Dr Che Muhammad Hafiz menjadi bualan. Semuanya bermula selepas Hafiz memuat naik gambar rayanya tanpa kelibat Julia di sisi dan status hubungan mereka terus mencetuskan tanda tanya ramai.
Menerusi hantaran beberapa gambar di Instagram, Hafiz berkongsi momen beraya bersama keluarga termasuklah mendedahkan dirinya sempat merasa air tangan ibunya setelah sekian lama.
“Seperti biasa di pagi raya saya akan singgah ziarah ibu dan ayah tercinta terlebih dahulu. Sempat juga merasa air tangan ibu buat nasi minyak ayam merah yang sudah lama mengidam.”
Melihatkan tiada kelibat Julia di sisi, MURAI terus menjengah ke ruangan pengikut pasangan tersebut dan mendapati mereka saling ‘unfollow’ akaun Instagram masing-masing. Situasi ini menjadi tanda tanya dalam kalangan peminat mengenai status hubungan mereka kini.

Malah beberapa hari sebelum ini, Julia mencuri perhatian selepas memuat naik hantaran di platform Threads, mengakui Raya pada kali ini terasa sedikit berbeza daripada sebelum ini.
“Raya akan berbeza sedikit, tetapi saya percaya sepenuhnya pada perancangan Allah”, tulis Julia.
Walau bagaimanapun, sehingga ke hari ini tiada sebarang kenyataan rasmi daripada Julia dan Hafiz mengenai perkara ini. Untuk rekod, Julia Farhana Marin dan Dr Che Muhammad Hafiz telah mendirikan rumah tangga pada April 202.






