Dalam dunia muzik, bukan semua penyanyi berani keluar dari zon selesa. Tapi lain ceritanya dengan Aina Abdul yang sekali lagi mencuri perhatian menerusi lagu raya berjudul Ya Habibi Ya Aidilfitri.
Terbaharu, penyanyi yang semakin dikenali dengan lagu irama Arab, Syed Iqbal tampil memberikan pandangannya dan nyata, ia penuh dengan pujian jujur.
Menurut Syed Iqbal, sebagai seorang penyanyi yang biasa menyanyikan lagu berbahasa Arab dan fasih bertutur dalam bahasa itu, dia melihat usaha Aina sebagai sesuatu yang patut dipuji.

Katanya, lagu tersebut bukan sekadar pasal raya semata-mata, tetapi benar-benar berjaya memeriahkan suasana dengan elemen Timur Tengah yang dibawakan. Malah, dia menyifatkan langkah Aina mencabar diri menyanyikan lirik Arab sebagai satu tindakan berani.
Apa yang lebih menarik, Syed Iqbal turut meneliti aspek teknikal lagu itu. Jelasnya, lirik yang digunakan adalah dalam Bahasa Arab baku yang sememangnya bukan mudah untuk disebut, apatah lagi bagi penutur bukan asli.
Dalam kebanyakan lagu, lirik Arab biasanya dipermudahkan agar mudah disebut oleh orang Melayu. Namun, Aina memilih jalan yang lebih mencabar dengan mengekalkan keaslian bahasa tersebut.
Walaupun dia mengakui sebutan Aina ada sedikit kekok, Syed Iqbal tetap melihat usaha itu sebagai sesuatu yang terbaik daripada penyanyi tersebut. Baginya, keberanian untuk mencuba sesuatu yang sukar sudah cukup membuktikan kualiti seorang artis.
Dan bila bercakap soal vokal, itu langsung tidak menjadi persoalan. Aina Abdul sememangnya dikenali dengan kekuatan vokalnya yang luar biasa, sekali gus menjadikan lagu ini tetap ‘hidup’ walaupun berdepan cabaran dari segi bahasa.
Untuk rekod, Syed Iqbal merupakan penyanyi baharu yang mula tular menerusi lagu Basstamam, dan kini semakin mendapat perhatian dengan identiti muzik berunsur Arab yang dibawanya.







