Kes ini bukanlah yang pertama kami dengar melibatkan artis, produksi dan pihak penaja. Jika dahulu sering kali kes-kes seperti artis tidak pulangkan dan rosakkan baju yang dipinjam kedengaran, kali ini kes yang hampir sama berlaku dan ianya melibatkan pihak produksi terkenal.

Hampir Setahun!

Baru-baru ini, pemilik jenama Tuan By Tengku Kery yang terkenal dalam menghasilkan pakaian batik kontemporari meluahkan rasa kesalnya pada sebuah syarikat produksi drama terkenal yang didakwa tidak memulangkan pakaian yang dipinjam oleh mereka. Adalah menjadi kebiasaan untuk sesebuah produksi meminjam pakaian-pakaian dari butik dan pereka terkenal untuk dipakai oleh pelakon mereka dalam drama dan filem yang akan dilakonkan.

Menurut pemilik jenama Tuan, Tengku Kery atau lebih mesra disapa sebagai Kery pada murai.my, beliau merasa terkilan kerana baju-baju yang telah dipinjamkannya pada produksi tersebut tidak dipulangkan sehingga ke hari ini malah ianya sudah berlanjutan hampir setahun lamanya.

Pelbagai Alasan

Tambah Kery, drama yang ditayangkan itu sudah pun tamat dan sehingga kini beliau masih menanti baju-baju tersebut untuk dipulangkan. Malah ketika ditanya pada pihak produksi tersebut, pelbagai alasan telah diberi oleh pihaknya seolah-olah baju tersebut tiada lagi dalam simpanan mereka.

IKLAN

Menurut Kery, beliau berharap perkara seumpama ini tidak akan berlaku lagi dan dapat dijadikan pengajaran pada masa hadapan.