Berita kehilangan remaja Ireland, Nora Anne Quoirin, 15 yang bercuti di Resort The Dusun Pantai Hill, Seremban, Negeri Sembilan bersama keluarganya berakhir dengan tragis. Yang mana berita kehilangannya selama 10 hari dilaporkan sejak 4 Ogos 2019.

The Dusun Pantai Hill Sememangnya Indah! 

Berbalik kepada The Dusun, sebelum ini kami sememangnya sedia maklum akan kewujudannya malah pernah meletakkan resort ini sebagai salah satu ‘bucket list’ kami. Manakan tidak, resort ini sememangnya cantik dan tidak hairanlah keluarga Nora Anne memilih The Dusun Pantai Hill sebagai lokasi percutian mereka.

IKLAN

Terletak Di Kawasan Hutan Berembun

Terletak di dalam sebuah dusun seluas 12 ekar, The Dusun sememangnya menjanjikan ketenangan buat setiap pengunjung dengan habitat flora dan fauna masih terpelihara. Difahamkan, resort ini bersebelahan dengan Hutan Simpan Berembun dan perkampungan orang asli suku kaum Temuan. Malah ada kalanya pengunjung yang bertuah dapat melihat monyet, burung-burung, ulat gonggok gergasi serta rusa di persekitaran hutan ini.

Harga Bilik Bermula Dari RM600 

Menjengah kepada bilik-bilik di resort ini, sebanyak 7 pilihan jenis bilik ataupun chalet boleh ditempah mengikut permintaan pengunjung dengan kadar harga bermula dari RM600 hingga RM900 satu malam. Manakala pilihan menginap pada cuti hari minggu pula mampu mencecah RM1,1000 satu malam.

Kolam Yang Memukau

Selain daripada lokasinya yang menarik perhatian pengunjung, kemudahan beberapa jenis kolam renang disini juga merupakan antara daya penarik yang mampu memukau sesiapa sahaja yang melihatnya. Jika sebelum ini, kebanyakan ‘infiniti pool’ mempunyai pemandangan bangunan pencakar langit, The Dusun menjanjikan pemandangan kehijauan yang mengasyikan selain dapat menghirup udara yang cukup segar.

The Dusun juga berhampiran dengan sebuah air terjun indah dan Sungai Berembun yang hanya boleh berjalan kaki dari resort ini. Memetik kenyataan ibu kepada Nora, remaja itu begitu teruja untuk melihat air terjun sebaik sahaja mereka tiba di resort namun impian gadis itu hanya mampu jadi kenangan buat mereka sekeluarga.

Memetik laporan Utusan, semua 18 resort di Pantai Hills Resort (PHR) di Pantai, Seremban termasuk The Dusun sebelum ini tidak mempunyai lesen untuk beroperasi. Namun,Majlis Perbandaran Nilai (MPN) telah memberi tempoh hingga Oktober ini bagi mendapatkan lesen. Terkini, kira-kira 30 peratus daripada kesemua resort berkenaan termasuk The Dusun telah pun mengemukakan permohonan kepada MPN.

IKLAN

Buat anda yang berminat untuk menginap di sini, tempahan perlu dibuat terlebih dahulu menerusi laman web The Dusun.