Usahawan kosmetik popular, Datin Vivy Yusof dikhabarkan telah meletakkan jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Pihak UiTM Beri Ucapan Penghargaan

Spekulasi itu muncul selepas pihak UiTM membuat satu hantaran di media sosial mereka sebentar tadi yang memberi ucapan penghargaan kepada Vivy selaku salah seorang Ahli Lembaga Pengarah sebelum ini.

“Terima kasih kepada Datin Vivy Yusof atas khidmat bakti sebagai Ahli Lembaga Universiti daripada Pengerusi Lembaga Pengarah, Ahli Lembaga Pengarah dan Pengurusan Eksekutif Universiti,” kata kenyataan itu.

Saman Netizen 

Pada minggu lalu, Vivy mencuri perhatian apabila telah memfailkan saman fitnah terhadap seorang netizen berhubung isu kerajaan membantu golongan B40 dan M40 yang terjejas akibat COVID-19. Saman fitnah itu difailkan Vivy terhadap Alia Najwa Hassannudin, 28, selaku defendan tunggal menerusi Tetuan Foong Cheng Leong & Co pada 15 Jun lalu.

via Instagram Vivy Yusof

Sebelum ini, nama Vivy teruk dikecam selepas warganet meluahkan rasa tidak puas hati orang ramai terhadap kenyataannya yang disifatkan merendah-rendahkan golongan B40 dan M40 yang layak menerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN). Malah sebuah petisyen turut diwujudkan bagi melucutkan jawatan Vivy dalam institusi pendidikan tersebut. Bagaimanapun, Vivy menerusi sebuah kenyataan memaklumkan ianya merupakan salah faham dan memohon maaf secara terbuka kepada orang ramai mengenai pandangannya itu sebelum ini.

IKLAN