Susulan daripada pelakon dan penyanyi Alif Satar disahkan positif COVID-19, penerbit JS Pictures Sdn Bhd, Sheila Rusly memaklumkan drama terbaharu terbitannya, Penjara Janji yang menjalani penggambaran di Melaka terpaksa dihentikan semalam.

Penggambaran Drama Ditangguhkan 

Via Instagram Sheila Rusly

Memetik laporan Harian Metro,sebaik sahaja mendapat tahu Alif yang juga pelakon utamanya positif, Sheila memaklumkan perkara itu kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dan pihaknya mengarahkan penggambaran drama terbabit ditangguhkan buat sementara waktu dan kesemua pelakon serta pekerja produksi juga telah diarahkan pulang.

IKLAN

“Seramai 25 selebriti dan pekerja produksi terbabit untuk penggambaran drama ini di Melaka. Jika mengikut jadual, esok adalah hari terakhir selepas 12 hari mereka ‘berkampung’.

“Bagaimanapun, semalam Alif dihubungi oleh bapanya yang memaklumkan individu yang ditemui pada 17 November lalu positif Covid-19. Selepas memberitahu perkara itu kepada KKM, penggambaran terpaksa dihentikan serta-merta.

“Malah pekerja produksi dan pelakon lain yang terbabit diminta pulang ke rumah masing-masing dan perlu menjalani kuarantin di rumah. Bagaimanapun, KKM sudah mengenal pasti kesemua kontak rapat dengan Alif dan tindakan susulan akan diambil oleh KKM dengan segera” kata Sheila seperti yang dipetik akhbar berkenaan

Positif Selepas Bertemu Individu Di Kuala Lumpur

Dalam pada itu, menerusi sumber yang sama difahamkan antara punca jangkitan tersebut adalah selepas dia bertemu dengan seorang individu di Kuala Lumpur atas urusan kerja pada Selasa lalu. Susulan itu, Alif dimaklumkan oleh bapanya bahawa individu tersebut telah disahkan positif pandemik dan dia terus bergegas menjalani ujian saringan Covid-19.

Pengurus Alif Satar, Adlina Abu Bakar memaklumkan penghibur popular itu kini sedang menjalani rawatan dan proses kuarantin di sebuah pusat perubatan di Melaka bermula semalam selepas berada di negeri itu bagi menjalani penggambaran Penjara Janji. Selain Alif, drama arahan Jinggo yang bakal ditayangkan di slot Samarinda TV3 pada tahun 2021 itu turut dibintangi Azira Shafinaz, Zulin Aziz dan Esma Daniel.