Mesti ramai kanak-kanak yang mengimpikan untuk menjadi seorang doktor sebagai kerjaya impian mereka bukan?
Ini adalah kerana mereka mempunyai minat yang terlalu mendalam untuk menyembuhkan orang yang sakit dan juga ingin menyelamatkan nyawa seseorang. Walaupun begitu, hanya sebilangan kecil sahaja yang berjaya merealisasikan impian masa kecil mereka.
Namun, anda tidak perlu merasa kecewa kerana walaupun anda tidak boleh menjadi seorang doktor, namun sekurang-kurangnya anda boleh merasai pengalaman menjadi seorang doktor dengan permainan simulator yang menarik ini di Android anda seperti yang kami senaraikan di bawah. Jom tengok!
Dream Hospital – Health Care Manager Simulator
Melalui simulator yang dibangunkan oleh Yboga ini, anda dapat menguruskan sendiri hospital, doktor dan jururawat. Dalam permainan ini, kita berperanan sebagai pengurus perkhidmatan kesihatan profesional yang baru.
Apa yang boleh dilakukan dalam permainan ini? Anda boleh membina bilik rawatan, diagnostik, rawatan kecemasan, penyelidikan perubatan dan juga teknologi pembedahan. Sebagai tambahan, kita mesti menyembuhkan penyakit dan kecederaan yang dialami oleh pesakit dan menghantar ambulan untuk menyelamatkan ramai pesakit.
Anda boleh menghiasi hospital anda dengan sebaik mungkin, pilih dari pelbagai perabot, aksesori dan cat serta dapatkan reputasi terbaik dan bersaing dengan hospital dari kawasan yang lain. Kita perlu bersaing dan mengambil bahagian dalam acara berbilang pemain dan memenangi hadiah hebat untuk menjadi yang terbaik!
Permainan ini telah dikeluarkan pada 6 Jun 2017 dan begitu menyeronokkan. Ia telah berhasil meraih lebih dari 1 juta orang yang telah memuat naik permainan ini melalui Google Play Store. Anda berminat untuk mencubanya?
Surgery Master
Bagaimana rasanya menjadi seorang pakar bedah? Soalan ini akan terjawab melalui permainan Android Surgery Master. Ini adalah permainan simulator pembedahan 3D yang kelihatan seperti dalam kehidupan nyata dan menyelamatkan nyawa dalam permainan pembedahan yang paling realistik!
Permainan ini jauh lebih sukar daripada pembedahan sebenar. Sebagai doktor, anda perlu menguasai cara-cara menggunakan pelbagai peralatan pembedahan dari yang mudah, sederhana sehingga yang lebih kompleks. Contohnya ialah pembedahan untuk tulang yang patah, pendarahan visceral dan barah.
Apakah ciri-ciri yang terdapat di dalamnya selain dari model 3D yang yang sebenar? Terdapat 18 set peralatan pembedahan, 15 jenis pembedahan yang sukar, 4 pemandangan kecemasan sehinggalah keadaan penyelematan kecemasan yang unik seperti kecemasan yang berlaku di lif dan di ambulan yang bergerak pantas ke lokasi kejadian yang membahayakan.
Permainan ini mula dilancarkan oleh Doodle Mobile Ltd pada 5 Februari 2018 dan seramai 10 juta orang telah memuat naik permainan ini di Google Play Store. Inilah cabaran terbaik untuk anda merasai sendiri pembedahan pada organ manusia melalui permainan.
Foot Clinic – ASMR Feet Care
Baru sahaja dikeluarkan pada 7 Julai 2020, tetapi permainan ini telah berjaya mencapai lebih 10 juta yang telah memuat turun permainan ini di Google Play Store. Ini adalah kerana Foot Clinic – ASMR Feet Care adalah permainan yang sangat unik, memuaskan dan pastinya menyeronokkan.
Melalui permainan ini, anda dapat merasai sendiri pengalaman menggosok, mengikis, mencabut dan membersihkan luka pada bahagian kaki. Anda juga boleh melakukan pembedahan untuk kuku yang tumbuh di bahagian dalam isi, kemudian membersihkan bahagian luka sehingga kaki kelihatan kembali licin dan sihat.
My Hospital
Permainan ini hampir serupa dengan Dream Hospital. Anda boleh membina dan menguruskan hospital sendiri. Bermula dari bilik doktor, bilik diagnostik, pusat rawatan dan makmal. Tidak ketinggalan, anda juga boleh menghiasi setiap kawasan hospital agar pesakit dapat merasakan seperti berada di rumah mereka sendiri.
Yang membezakannya ialah anda boleh memelihara dan menuai tanaman perubatan anda sendiri dan hasilkan penawar untuk merawat lebih daripada 80 jenis penyakit yang aneh. Contohnya seperti paru-paru berlendir, tekak panas atau tangan yang kaku.
Untuk menjadikannya lebih mencabar, anda boleh menghubungkan permainan ini dengan Facebook dan dapat mengakses hospital rakan-rakan anda yang lain. Anda boleh bersaing dengan pengurus hospital yang lain untuk mengetahui siapa yang terbaik.
Permainan ini boleh dimuat turun dan dimainkan secara percuma. Walau bagaimanapun, beberapa item dalam permainan ini boleh dibeli dengan wang yang sebenar.
Heart’s Medicine : Season One
Di dalam permainan ini, anda boleh bermain bersama Allison Heart iaitu seorang pelajar perubatan yang memulakan kerjayanya sebagai pelatih di sebuah hospital yang terletak di bandar kecil di Amerika. Anda akan merasa cepatnya aliran adrenalin apabila anda harus mendiagnosis, merawat, mengendalikan dan menyembuhkan pesakit sebelum terlambat.
Tidak hanya merawat pesakit, Allison terperangkap dalam cinta tiga segi. Ada dua doktor kacak yang bersaing untuk meraih perhatiannya. Heart’s Medicine adalah permainan yang lengkap dan bukan hanya mengenai karier tetapi juga mempunyai unsur-unsur drama, persahabtan dan cinta di dalamnya.
Operate Now : Hospital
Berbanding dengan Surgery Master, permainan ini kelihatan lebih realistik secara visual. Anda akan mengambil peranan sebagai pengurus atau pakar bedah, kemudian melakukan pembedahan yang mencabar dan menguruskan hospital dengan baik.
Sebagai pakar bedah, anda ditugaskan untuk membuang benda asing, memperbaiki tulang yang patah dan melakukan trakeotomi (membuat lubang di saluran udara dan trakea). Anda harus melakukan pembedahan dengan sempurna dan mengendalikan pesakit dengan berhati-hati.
Sementara itu, sebagai pengurus hospital, anda juga harus menguruskan bilik kecemasan, unit rawatan intensif dan menampung jabatan baru. Anda juga dapat memperluaskan dan menaik taraf hospital sehingga pesakit dapat memperoleh rawatan kesihatan secara maksimum.
Doctor Dash : Hospital Game
Dan yang terakhir adalah Doctor Dash: Hospital Game yang dibuat oleh Happy Mobile Game. Dalam permainan ini, ada klinik yang berbeza untuk setiap penyakit seperti klinik untuk bahagian paru-paru, pakar ginjal, klinik pergigian, klinik bahagian otak (dengan ahli bedah saraf) dan pusat penyembuhan penyakit jantung.
Gunakan sinar-X untuk mendiagnosis pesakit. Anda juga boleh memberi nasihat kepada pesakit untuk menjalani pembedahan atau pesakit hanya memerlukan ubat sahaja (bahagian pesakit luar), bergantung pada keadaannya. Anda mungkin menghadapi situasi kecemasan di mana hanya ada sedikit masa yang berbaki untuk menyelamatkan nyawa pesakit. Bunyi macam mencabar bukan?
Jadi, itulah antara 7 permainan Android simulator doktor di mana kita boleh memainkan peranan sebagai seorang doktor. Pada pendapat anda, permainan manakah yang paling menarik?
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.