Penyanyi Hazama dan Siti Sarah mengesahkan berita yang dikongsi oleh peminat apabila kedua-dua penyanyi popular ini berduet menerusi sebuah single baharu berjudul Terakhir Buat Teman.
Dicipta Oleh Allahyarham Lok U
Menerusi sebuah sidang media khas yang diadakan secara virtual, menurut Hazama dan Sarah lagu ini cukup bermakna buat mereka kerana ia dicipta oleh sahabat baik mereka yang juga komposer terkenal, Allahyarham Faizal Uzir atau lebih dikenali sebagai Lok U.
Terhasilnya lagu istimewa ini bukanlah sesuatu yang dirancang kerana melodi indah yang dicipta oleh Allahyarham Lok U sebenarnya adalah untuk mengenang kedua orang sahabatnya yang pergi mengadap Ilahi terlebih dahulu.
Lagu Buat Dua Sahabat
Lebih mengharukan, Allahyarham sempat memetik piano menghasilkan bait-bait indah bersama Sarah. Lagu tersebut pada dasarnya diciptakan oleh Lok U bersama Aji sebagai tanda mengenang Allahyarham Kelly yang terlebih dahulu pergi meninggalkan mereka. Namun siapa sangka Aji pula menyusul mengikut Kelly bertemu Sang Pencipta.
Difahamkan, Lok U cuba sedaya upaya menyiapkan lagu tersebut yang dirancang akan dinyanyikan oleh Sarah namun figura yang dihormati ramai ini juga berpulang ke negeri abadi tanggal 22 Januari 2020. Justeru itu, beberapa pihak yang terdiri daripada Indigital Music dan kenalan rapat ketiga-tiga Allahyarham bersatu menyumbangkan idea dan khidmat bagi menyiapkan lagu ini.
Siti Sarah & Hazama Sebak
Dedah Sarah yang dilihat terlalu sebak mengenangkan kisah persahabatannya bersama Allahyarham Lok U, dia terpaksa mencari kekuatan untuk terus menyanyikan lagu ini. Akui Sarah, di saat rakaman lagu dia enggan meletakkan sepenuh perasaanya kerana khuatir tidak dapat meneruskannya.
“Memang saya antara orang paling terkesan bila Allahyarham Lok U meninggal dunia. Kami pernah jamming sama-sama untuk menyudahkan lagu yang dituju buat dua rakan-rakan yang lain”
“Tapi akhirnya dia pergi tanpa pesan. Saya bersyukur kerana ramai rakan-rakan Allahyarham mahu turun padang dan menyiapkan juga karya ini. Setidaknya saya mampu tersenyum apabila hasratnya untuk menghasilkan lagu disambung
oleh yang lain,” kata Sarah.
Bagi Hazama pula, dia turut mendedahkan bahawa pernah menyuarakan hasrat untuk menyanyikan lagu ini ketika mendengar melodinya buat kali pertama dan ketika itu dia juga tidak mengetahui bahawa Sarah juga mendapat mandat yang sama.
Jelas Hazama, ini merupakan satu penghormatan kepadanya apabila diberikan kepercayaan membawakan Terakhir Buat Teman bersama-sama Sarah meskipun dia tidak bersama dalam proses pra pembikinan.
“Allahyarham Lok U pernah beri saya dengar melodi lagu yang katanya dibuat khusus untuk arwah Kelly dan Aji. Saya kata ini muzik yang baik dan saya mahu menyanyikannya”
“Tak sangka pula karya tersebut tidak disiapkan sepenuhnya. Apa-apa pun saya bersyukur kerana pada akhirnya rezeki dapat berduet dengan Sarah melalui karya besar ini,” kata Hazama pula.
Menariknya single ini turut mendapat sokongan geran melalui Dana Kandungan Digital (DKD) di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM). Video Terakhir Buat Teman boleh ditonton melalui salurah digital dan YouTube Indigital Muzik mulai semalam.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.