Adakah anda seorang yang suka membakar dan suka mencipta menu baru untuk kek kegemaran anda? Mentega biasanya akan menjadi bahan utama yang diperlukan untuk membuat kek malahan untuk masakan-masakan lain dan juga menggoreng. Mentega adalah merupakan bahan yang berasal dari produk olahan susu. Namun sayangnya, mentega juga terkenal dengan kandungan lemak dan kalori yang sangat tinggi. Ianya sangat dihindari terutama sekali bagi mereka yang sedang berdiet.
Untuk mereka yang gemar makan kek tetapi dalam masa yang sama ingin menurunkan berat badan, anda tidak perlu risau kerana kami ada jalan penyelesaiannya. Berikut kami akan kongsikan dengan anda 5 bahan yang boleh digunakan sebagai pengganti mentega dan dapat mengurangkan jumlah lemak dan kalori dalam makanan kegemaran anda. Jom tengok apakah bahan yang kami maksudkan.
Minyak Kelapa
Menggantikan mentega dengan minyak kelapa dapat menjadikan kek dan hidangan masakan kita lebih sihat kerana minyak kelapa lebih cenderung mengandungi lemak baik berbanding mentega yang mempunyak kandungan lemak jahat yang tinggi. Namun rasa kek yang diperbuat dengan menggunakan minyak kelapa mungkin sedikit berbeza. Perbezaan rasa ini adalah bergantung pada jenis minyak kelapa yang digunakan. Pastikan untuk menggunakan minyak kelapa yang telah disaring terlebih dahulu. Gantikan 1 gram mentega dengan 1 gram minyak kelapa di dalam resipi anda.
Minyak Zaitun
Bukan hanya minyak kelapa, minyak zaitun juga boleh digunakan sebagai pengganti mentega. Untuk 1 cawan mentega, anda boleh gantikan dengan 3/4 cawan minyak zaitun. Ini adalah kaedah yang baik bagi mengurangkan kandungan lemak, kolesterol dan natrium yang buruk yang biasanya terdapat dalam masakan atau kek.
Menggantikan mentega dengan minyak zaitun paling sesuai dengan resipi kek yang mengandungi buah atau kekacang. Walau bagaimanapun, minyak zaitun tidak sesuai untuk resipi kek yang memerlukan lemak padat atau krim.
Greek Yogurt
Sekiranya anda ingin menambahkan kandungan protein dan membuatkan kek menjadi lebih lembut tanpa kandungan lemak dan kalori yang tinggi, maka greek yogurt adalah pengganti yang sangat tepat.
Penggunaan greek yogurt juga akan membuatkan rasa kek menjadi manis dan anda tidak perlu menambahkan lebih banyak gula lagi. Untuk memastikan kek menjadi lebih berkrim dan lembut, anda boleh juga menggunakan full fat yogurt. Gantikan 1 cawan mentega kepada 1/2 cawan greek yogurt, kek anda pasti akan lebih sedap dan lebih sihat.
Avocado
Buah ini juga boleh menjadi pengganti mentega. Avocado banyak mengandungi nutrien penting seperti vitamin K dan kalium serta lemak yang sihat. Anda hanya perlu menggantikan 1 gram mentega bersamaan dengan 1 gram avocado yang telah dihaluskan terlebih dahulu. Avocado juga dapat menjadikan kek yang berwarna hijau menjadi hijau secara semulajadi.
Sos Epal
Sos epal boleh menjadikan kek anda lebih lembut tanpa kalori dan lemak di dalamnya. Selain itu, sos epal juga dapat menambahkan rasa manis pada kek dengan lebih semulajadi, jadi anda tidak perlu bersusah payah untuk menambahkan lebih banyak gula lagi di dalam resipi anda. Kandungan serat yang terdapat pada epal juga akan menambahkan serat pada hidangan kek anda. Gantikan 1 gram mentega dengan 1 gram sos epal mengikut resipi kegemaran anda.
Selamat Mencuba.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.