Acara Sukan Olimpik Tokyo 2020 baru saja melabuhkan tirai baru-baru ini. Tahniah diucapkan kepada semua ahli kontigen Malaysia yang telah terlibat.
Seiring dengan itu, Tourism Selangor juga turut menyenaraikan 3 ahli sukan terkemuka dari Negeri Selangor dan tempat-tempat yang boleh dilawati di sekitar Negeri ini untuk mengenang jasa dan legasi mereka dalam arena sukan Negara dan antarabangsa.
Dato’ Mokhtar Dahari
Pemain bola sepak lagenda yang berasal dari Negeri Selangor ini telah dilahirkan pada 13 November 1953. Dato’ Mokhtar Dahari atau juga dikenali sebagai Supermokh terkenal dengan kehandalan dan kemahirannya dalam sukan bola sepak.
Bagi peminat Dato’ Mokhtar Dahari dan peminat bola sepak yang lain, anda boleh kunjungi Muzium Bola Sepak Selangor yang terletak di Istana Alam Shah Klang untuk memperingati jasa bintang bola sepak ini serta menerokai sejarah dan koleksi bola sepak yang dikumpulkan sendiri oleh DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.
Arumugam Rengasamy
Datuk R Arumugam yang juga dikenali sebagai ‘spiderman’ telah membantu pasukan bola sepak Negara Malaysia dalam Sukan Asia 1974 di Tehran, kelayakan dalam Sukan Olimpik Moscow 1980 dan pelbagai lagi.
Menurut Tourism Selangor, sempena memperingati jasa beliau, Sultan Selangor, DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Majlis Perbandaran Klang telah menukar nama Stadium Jalan Pekeliling, Port Klang kepada Stadium Mini Datuk R Arumugam.
Adik Beradik Sidek
Siapa yang tidak kenal dengan jaguh legenda badminton Malaysia; adik beradik Sidek. Adik beradik pernah menempa nama dalam sukan badminton dalam pelbagai arena berprestij termasuk Sukan SEA, Grand Prix Badminton Dunia, Piala Thomas dan juga Kejohanan Badminton Terbuka Seluruh England.
Bagi peminat badminton anda boleh membuat lawatan ke Tugu Badminton Anak-anak Sidek yang terletak di Pekan Banting di dalam kawasan perumahan Dato’ Haji Sidek. Tugu itu dibina sebagai memperingati jasa dan sumbangan keluarga Sidek dalam mengharumkan nama Negara di arena badminton di peringkat domestik dan antarabangsa.
3 ahli sukan Negeri Selangor yang berjaya menempa nama di persada sukan dunia ini tidak harus dilupakan jasa dan pencapaian hebat mereka. Oleh itu, jika anda berkelapangan, lawati tempat-tempat yang telah disenaraikan di atas pada suatu masa hadapan.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.