Majlis Raja-Raja menzahirkan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kerana memikul tanggungjawab sebagai Payung Negara dengan penuh amanah, bijaksana serta sempurna.
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, pelbagai cabaran dihadapi Al-Sultan Abdullah ketika menjadi Ketua Negara, namun kesemuanya dapat diselesaikan dengan sebaiknya.
Titah baginda, beberapa masalah yang sangat mencabar ketika pemerintahan Al-Sultan Abdullah termasuk wabak COVID-19 yang melanda seluruh dunia serta pergolakan politik sehingga membabitkan pelantikan empat perdana menteri.
“Namun begitu, kesemua masalah berkenaan berjaya diselesaikan, berkat kebijaksanaan Paduka Adinda berunding dengan pemimpin politik serta dengan Yang Maha Mulia Raja-raja.
“Kejayaan Paduka Adinda bukan sahaja dalam menyelesaikan kemelut politik, tetapi juga dalam menyantuni rakyat jelata. Kembara Borneo yang julung kali diadakan berjaya mendekatkan hubungan raja dengan rakyat serta meningkatkan kesetiaan rakyat kepada Raja dan Negara.
“Akhir kata, Paduka Kekanda dan Ahli-ahli Majlis sekalian, berdoa ke hadrat Allah SWT supaya dikurniakan-Nya kebahagiaan, keberkatan dan rahmat yang berkekalan kepada Paduka Adinda dan keluarga,” titah Sultan Johor.
Sultan Ibrahim bertitah demikian dalam Perutusan Raja Pengerusi Majlis Raja-Raja ke-262, DYMM Sultan Johor kepada Yang Di-Pertuan Agong ke-16.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menghadiri mesyuarat itu.
Untuk makluman, Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-263 (Khas) di Istana Negara, esok akan bersidang bagi urusan menentukan Yang di-Pertuan Agong ke-17. Pemilihan itu bagi menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang akan menamatkan penggal sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.