Kalau sebut saja nama Robert Kuok, semua orang tahu, inilah ‘Raja Gula’ Malaysia dan orang paling kaya di negara kita. Tapi ramai tak tahu, legasi beliau kini diteruskan oleh anak perempuannya, Kuok Hui Kwong, yang baru saja diumumkan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baru Shangri-La Asia.
Cerita ni diumumkan pada Rabu, 16 Julai, di mana Shangri-La Asia sendiri umum yang Hui Kwong bakal ambil alih kerusi panas CEO mulai 1 Ogos 2025. Hebat, kan? Jom kita kenali siapa sebenarnya wanita yang berdiri di balik nama besar keluarga Kuok ini.
Dari Harvard ke Puncak Shangri-La
Kuok Hui Kwong ni sebenarnya bukan orang baru di Shangri-La. Beliau dah jadi Pengarah Eksekutif sejak tahun 2016, dan kemudian dilantik pula jadi Pengerusi pada 2017. Sekarang, dengan jawatan CEO sekali, memang lengkaplah kuasa di tangan dia untuk menerajui syarikat mewah ini ke hadapan.
Menurut Shangri-La, langkah menyatukan jawatan Pengerusi dan CEO di bawah Hui Kwong ni untuk pastikan strategi syarikat lebih padu dan hala tuju lebih jelas. Sebab semua keputusan datang daripada satu visi yang sama.
Oh ya, Hui Kwong ni berumur 47 tahun, pernah belajar di Harvard University, dengan Ijazah Sarjana Muda dalam Pengajian Asia Timur. Memang dari dulu dia dah nampak berbakat dalam dunia korporat.
Pernah Pegang Banyak Jawatan Penting
Sebelum ni, beliau juga pernah jadi Pengarah Urusan & CEO SCMP Group (syarikat akhbar South China Morning Post) dan juga pernah jadi pengarah di Bangkok Post. Dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ni, beliau turut pegang jawatan di China World Trade Centre Company.
Dalam Shangri-La sendiri, beliau bertanggungjawab tentukan strategi utama dan bawa syarikat capai sasaran-sasaran besar mereka. Kiranya, memang dah lama dia ‘panaskan kerusi’ kepimpinan sebelum diberi mandat penuh sebagai CEO.
Gaji & Pegangan Saham Pun Bukan Biasa-Biasa
Kalau nak tahu, di bawah kontrak sekarang, Hui Kwong menerima gaji asas sebanyak HK$576,000 sebulan (lebih kurang USD73,000), belum masuk bonus dan pencen lagi. Malah, beliau juga pegang 95.57 juta saham Shangri-La secara langsung dan tidak langsung. Memang patutlah dia antara wanita paling berpengaruh dalam dunia perhotelan mewah.
Legasi Yang Terus Berkembang
Dengan jawatan baru ini, Hui Kwong bakal terus membawa nama besar Shangri-La Asia, yang diasaskan oleh bapanya, Robert Kuok, ikon perniagaan Malaysia yang kini berusia lebih 100 tahun dan masih dikenali sebagai salah seorang individu terkaya di Asia.
Orang kata, nak jadi pemimpin bukan mudah, apatah lagi nak teruskan legasi keluarga yang begitu gah. Tapi dengan pengalaman, pendidikan, dan visi beliau, nampaknya Hui Kwong berada di landasan yang tepat untuk terus harumkan nama keluarga Kuok dalam dunia perniagaan antarabangsa.
Tahniah kepada Kuok Hui Kwong, wanita besi di sebalik jenama hotel mewah Shangri-La. Semoga terus sukses dan jadi inspirasi untuk ramai lagi wanita di luar sana!