Dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) kini kembali jadi perhatian apabila kerajaan mengumumkan pelaksanaannya bermula 15 April ini, melibatkan kementerian dan agensi utama. Dalam masa sama, kerajaan negeri Pahang juga ‘gerak awal’ dengan melaksanakan BDR selama dua hari seminggu secara bergilir sekali gus dilihat sebagai langkah segera membantu rakyat berdepan kos sara hidup yang semakin mencabar.
Perkara Penting Tentang BDR Ini
- Bermula 15 April 2026 untuk peringkat Persekutuan
- Libatkan kementerian, agensi kerajaan & GLC
- Pahang laksana lebih awal, 2 hari seminggu secara bergilir
- Fokus bantu kurangkan kos sara hidup rakyat
- Pelaksanaan tidak jejaskan operasi kerajaan
- Sektor swasta digalak ikut jika bersesuaian
- BDR Sebahagian Langkah Penjimatan Kerajaan
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaksanaan BDR ini adalah antara langkah awal kerajaan dalam mengurus keadaan semasa termasuk penjimatan perbelanjaan.
“Sebelum ini kita umum akan ambil langkah awal dan ini termasuk sambutan Aidilfitri yang lebih terkawal, selain kerajaan akan mengurangkan dengan langkah penjimatan dan sambutan yang jauh lebih sederhana”.
“Saya ucap setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kepada semua yang mengikuti semangat ini dan tidak angkuh, tidak boros, tidak anggap keadaan ini biasa mempamerkan kekayaan sewenang-wenang dan menunjukkan seolah-olah tidak ada yang terkesan”. katanya

Langkah ini juga dilihat sebagai respons terhadap situasi semasa termasuk tekanan ekonomi dan kos sara hidup yang semakin dirasai rakyat.
Pahang Ambil Langkah Awal Bantu Rakyat
Sementara itu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata pelaksanaan BDR dua hari seminggu berkuat kuasa minggu hadapan secara bergilir dibuat selepas mengambil kira keluh kesah rakyat.

Menurutnya, pendekatan ini mampu mengurangkan beban kos harian seperti perjalanan, bahan api, tol serta keperluan keluarga.
“Pelaksanaan dasar ini akan dibuat secara tersusun dan berjadual tanpa menjejaskan kecekapan operasi dan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan negeri kepada rakyat.
“Ketua-ketua jabatan dan agensi akan menyelaras pelaksanaannya berdasarkan keperluan perkhidmatan serta fungsi jabatan masing-masing,” katanya.
Disiplin & Produktiviti Tetap Jadi Keutamaan
Dalam masa sama, penjawat awam diingatkan supaya terus mengekalkan disiplin, integriti dan produktiviti sepanjang pelaksanaan BDR.
Kerajaan negeri turut membuka ruang kepada sektor swasta, GLC dan majikan lain untuk mempertimbangkan kaedah kerja fleksibel termasuk bekerja dari rumah sekiranya sesuai dengan operasi masing-masing.
BDR Penjawat Awam Tidak Libatkan Sektor Kritikal
Sekadar info tambahan, menurut Menteri Komunikasi, Datuk Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil sebelum ini berkata kerajaan telah menegaskan bahawa cadangan BDR untuk penjawat awam tidak akan melibatkan sektor pendidikan dan kesihatan kerana kedua-duanya bersifat barisan hadapan. Terdahulu, beliau mengatakan bahawa fokus BDR buat masa ini adalah kepada sektor bukan kritikal, manakala penyelarasan penuh akan dibincangkan dalam mesyuarat MTEN selepas Aidilfitri. Perkara ini diumumkan dalam Sidang Media Jurucakap Kerajaan oleh Menteri Komunikasi pada 17 Mac 2026.

Bagi Murai, BDR kali ini nampak lebih ‘realistik’ sebab fokus utama adalah bantu rakyat kurangkan kos, bukan sekadar fleksibiliti kerja. Tapi seperti biasa, semuanya bergantung pada pelaksanaan, kita sama-sama harus disiplin bantu negara kita.






