Tular satu perkongsian di Thread apabila seorang individu mendakwa wang tunai berjumlah lebih RM7,000 rosak teruk selepas dimakan anai-anai.
Persoalannya, adakah duit yang sudah cacat seperti ini masih boleh ditukar di bank?
Menurut garis panduan rasmi daripada Bank Negara Malaysia (BNM), wang kertas yang rosak masih boleh dinilai dan ditukar, tertakluk kepada tahap kerosakan.
Di bawah Seksyen 20 Akta Bank Negara Malaysia 1958, BNM bertanggungjawab mengeluarkan dan memastikan integriti mata wang negara sentiasa terpelihara. Ini termasuk menarik balik wang yang tidak lagi sesuai untuk edaran.

Apa Itu “Mata Wang Tidak Sesuai”?
BNM mentakrifkan mata wang tidak sesuai sebagai wang kertas atau syiling yang rosak sehingga tidak memenuhi standard kualiti untuk kekal dalam edaran.
Antara kriteria wang kertas yang dianggap masih sesuai untuk edaran semula ialah:
- Tulen dan bukan palsu
- Tidak berlubang, koyak atau hilang bahagian penting
- Tidak terlalu kotor
- Warna tidak luntur, khususnya pada potret Yang di-Pertuan Agong
- Tidak mempunyai contengan ketara
Kalau duit anda dah dimakan anai-anai, terbakar atau koyak — ia akan melalui proses penilaian khas.
Berapa Nilai Boleh Dapat Balik?
Untuk wang kertas cacat (termasuk dimakan anai-anai), nilai yang diberikan bergantung kepada berapa banyak saiz asal yang masih tinggal:
- Lebih 2/3 saiz asal → Nilai penuh
- Antara 1/2 hingga kurang 2/3 → Nilai separuh
- Kurang 1/2 saiz asal → Tiada nilai
Jadi, kalau duit masih majoritinya lengkap, peluang untuk dapat semula nilai penuh memang ada.
Perlu Pergi Bank Mana?
Anda boleh pergi ke mana-mana bank komersial, namun lebih mudah jika ke bank tempat anda mempunyai akaun. Biasanya pihak bank akan:
- Terima wang rosak untuk dihantar ke BNM
- Buat penilaian lanjut
- Kreditkan semula jumlah yang diluluskan ke dalam akaun
Tempoh proses lazimnya mengambil masa sekitar satu hingga dua minggu.
Ramai juga berkongsi pengalaman bahawa nombor siri wang kertas sangat penting dalam membantu proses pengesahan.
Kenapa Duit Besar Masih Kertas?
Meninjau ruangan komen, ada yang mempersoalkan mengapa hanya wang RM1 menggunakan bahan polimer (plastik), manakala denominasi besar masih kertas. Isu ketahanan ini memang sering dibangkitkan, lebih-lebih lagi apabila melibatkan kerosakan akibat air, api atau serangga perosak.
Namun apa pun bahan yang digunakan, penyimpanan wang tunai di tempat kering dan selamat tetap langkah paling asas untuk elak kerugian.



Pengajaran Untuk Semua
Kes seperti ini jadi peringatan bahawa menyimpan wang tunai dalam jumlah besar di rumah ada risikonya. Selain faktor kecurian, kerosakan fizikal seperti anai-anai atau kebakaran juga boleh berlaku tanpa disedari.
Kalau sudah terjadi, jangan terus anggap duit itu “hangus”. Rujuk bank dan ikut saluran rasmi. Sistem penilaian memang wujud dan dalam banyak kes, masih ada peluang untuk dapat semula hak anda.
Stay alert, simpan dengan bijak, dan jangan biar anai-anai makan kewangan anda.






