Nama Billie Eilish sering menjadi topik hangat dalam kalangan peminat. Penyanyi ini bukan sahaja dikenali kerana muzik hebatnya, tetapi juga kerana gaya fesyennya.
Kalau kamu nak tahu, sejak awal kerjayanya lagi Billie telah sinonim dengan pakaian oversized, atau pakaian longgar dan bersaiz besar. Sama ada di atas pentas, di red carpet atau dalam video muzik, gayanya hampir tidak berubah langsung.
Pakaiannya telah menjadi ciri khas yang banyak ditiru oleh golongan muda. Namun adakah kamu tahu, pilihan fesyennya bukan sekadar tentang gaya, tetapi ada sebab peribadi di sebaliknya.
Memetik kenyataannya di Complex, Billie mendedahkan bahawa keputusannya untuk memakai pakaian oversized adalah berkaitan dengan pengalaman zaman kanak-kanaknya dan perjuangannya mengenai imej badan.
“Dulu saya lebih gemuk dan obses dengan pakaian tertentu, tetapi apabila saya membelinya, ia tidak muat. Ketika itulah masalah mengenai badan saya mula muncul.”
Selain itu, Billie turut berkongsi bahawa perkembangan badannya lebih cepat berbanding rakan sebaya ketika usianya masih muda. Disebabkan oleh itu, dia berasa sangat tidak selesa dengan perubahan fizikal yang dialaminya.
“Saya mempunyai payudara sejak saya berumur sembilan tahun, dan ia membesar dengan sangat cepat. Saya tidak langsing, dan saya juga melakukan balet, yang benar-benar menekankan bentuk badan.”
Pengalaman ketika zaman kanak-kanaknya itu telah mendorong Billie untuk tidak menggunakan badannya dalam industri hiburan. Akuinya, dia mahu dikenali kerana muziknya dan bukan kerana penampilan fizikalnya yang terdedah.
Walaupun dalam industri yang sering menuntut selebriti untuk kelihatan seksi demi populariti, namun sikap Billie mendapat pujian kerana tidak mengeksploitasi tubuh badannya tetapi lebih kepada kerja dan keyakinan diri.






