Aktres Uqasha Senrose baru-baru ini mencuri perhatian ramai apabila menzahirkan rasa penghargaan kepada bekas suaminya yang turut aktor, Kamal Adli. Penghargaan itu dizahirkan selepas Kamal meluangkan masa membawa anak tunggal mereka, Hawra Uqaira, keluar berjalan-jalan.
Menerusi platform Instagram, Uqasha berkongsi beberapa momen comel Hawra, yang kelihatan gembira meluangkan masa bersama Kamal. Dalam salah satu momen tersebut, Hawra kelihatan teruja melihat beberapa ekor ikan berenang dalam aquarium.

“Terima kasih Ayah (Kamal Adli) bawak Qeyaa (Hawra Uqaira) jalan-jalan.”
Dalam video yang sama, Uqasha turut memohon maaf kepada anaknya kerana terpaksa bekerja dan berjanji untuk meluangkan masa bersama-sama.
“Maaf anak Ibu shoot pagi ke pagi. Nanti Bubu bawak Qeyaa pulak okay?”
Untuk makluman, Kamal sering berkongsi beberapa videonya meluangkan masa dengan Hawra Uqaira di akaun Instagram miliknya. Walaupun sudah berpisah dengan Uqasha, aktor ini tidak pernah melupakan tanggungjawabnya sebagai seorang bapa.
Sekadar rekod, Uqasha Senrose dan Kamal Adli mendirikan rumah tangga pada 4 November 2021 di Janda Baik, Pahang. Pasangan ini kemudiannya sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 12 Januari 2026.






