Isu penggunaan MyKad dalam sistem subsidi petrol BUDI95 kini jadi topik panas yang tak henti-henti diperdebatkan di media sosial. Dari Facebook ke TikTok, malah Threads pun sama ‘riuh’, ramai yang masih keliru sama ada boleh atau tidak guna MyKad ahli keluarga untuk isi minyak RON95 bersubsidi.
Ada yang yakin boleh kongsi, ada juga yang takut kena saman. Lebih membimbangkan, wujud dakwaan individu telah ditegur atau diberi amaran kerana menggunakan MyKad orang lain. Jadi, apa sebenarnya yang dibenarkan dan apa pula yang boleh ‘bawa masalah’? Jom Murai kupas dengan gaya santai tapi fakta tetap solid.
Apa Itu BUDI95 & Kenapa Isu MyKad Jadi Sensitif?
Program BUDI MADANI RON95 atau BUDI95 diperkenalkan bagi memastikan subsidi petrol sampai kepada golongan yang benar-benar layak.
Kalau dulu semua orang boleh isi minyak harga murah tanpa had (termasuk warga asing dan syarikat besar), sekarang sistem dah berubah. Subsidi diberikan secara bersasar dan MyKad jadi ‘kunci utama’.
Mudah cerita:
- Imbas MyKad
- Sistem sahkan identiti
- Harga subsidi RM1.99/liter terus aktif
Namun, bermula 1 April 2026, kerajaan menetapkan had penggunaan kepada 200 liter sebulan, berbanding 300 liter sebelum ini.
Apa Yang Sebenarnya DIBENARKAN?
Walaupun nampak rumit, hakikatnya sistem ini agak fleksibel terutama untuk keluarga.
- Setiap individu yang layak boleh guna MyKad sendiri
- Suami dan isteri boleh isi minyak kereta yang sama
- Anak dan ibu bapa juga boleh berkongsi kenderaan
Asalkan satu syarat dipatuhi:
- Individu tersebut mesti hadir secara fizikal semasa menggunakan MyKad
Maknanya, bukan kereta yang penting tapi siapa yang isi minyak.
Yang TAK BOLEH Buat (Ramai Tersilap Kat Sini)
Ini bahagian paling ‘tricky’ dan ramai terlepas pandang.
- Pinjam MyKad kepada orang lain
- Bagi IC kepada anak/suami/isteri untuk isi tanpa kehadiran
- Majikan arah pekerja guna MyKad orang lain
- Simpan atau bawa MyKad individu lain
Ringkasnya:
Kalau MyKad digunakan, pemilik kad WAJIB ada di situ
@501awani Kementerian Kewangan memberi amaran keras bahawa perbuatan menebus subsidi Budi Madani RON95 atau BUDI95 menggunakan MyKad milik individu lain merupakan satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan mengikut peraturan yang berkuat kuasa. #AWANInews
Risiko Bukan Main-Main, Boleh Cecah RM20,000!
Di bawah peraturan oleh Jabatan Pendaftaran Negara, penggunaan MyKad orang lain adalah satu kesalahan jenayah. Jika sabit kesalahan:
- Denda sehingga RM20,000
- Penjara sehingga 3 tahun
- Atau kedua-duanya sekali
Lebih ‘ngeri’, pemilik MyKad pun boleh dikenakan tindakan walaupun pinjamkan kad dengan niat baik.
Cara Selamat & Betul Guna MyKad BUDI95
Untuk elak masalah, ini cara paling mudah dan selamat:
- Datang sendiri ke stesen minyak
- Imbas MyKad sendiri
- Gunakan aplikasi seperti Setel atau Touch ‘n Go eWallet (lepas pengesahan)
- Pantau baki kuota setiap bulan
Menurut Kementerian Kewangan Malaysia, kuota 200 liter sebenarnya mencukupi untuk majoriti rakyat. dengan purata penggunaan hanya sekitar 80 liter sebulan. Jadi, walaupun nampak ketat, sistem ini masih beri ruang untuk keluarga berkongsi manfaat elagi ikut peraturan.
Bagi Murai, sistem ini dilihat sebagai langkah yang wajar dan lebih tersasar berbanding kaedah subsidi lama yang terlalu terbuka sehingga mengundang ketirisan. Usaha kerajaan melalui Kementerian Kewangan Malaysia untuk memastikan hanya golongan layak menikmati subsidi memang patut dipuji, apatah lagi dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu.







