Sebagai seorang ibu, usahawan dan pengarah syarikat konglomerat, kehidupan Nur Nadia SM Nasimuddin pastinya menuntut komitmen yang bukan sedikit. Namun, di sebalik kesibukan menguruskan keluarga dan kerjaya, anak perempuan bongsu Allahyarham Tan Sri SM Nasimuddin itu mempunyai rahsia tersendiri dalam menguruskan masa.
Menerusi satu perkongsian sempena Jumaat, Nadia yang juga pengasas jenama penjagaan tubuh Pop Neutral mengakui sering menerima pertanyaan daripada orang ramai tentang bagaimana dia mampu mengimbangi pelbagai tanggungjawab dalam kehidupan. Sibuk Urus Keluarga & Perniagaan
Rahsia Nadia Nasimuddin Urus Masa Bukan Sekadar Disiplin
Menurut Nadia, dia kadangkala berasa kurang selesa untuk berkongsi jawapan kerana bimbang kenyataannya disalah tafsir seolah-olah mahu berbangga dengan pencapaian sendiri.
Namun, baginya, segala kemudahan yang dirasai bukan semata-mata kerana kebijaksanaan mengurus masa, sebaliknya percaya kepada keberkatan yang Allah SWT berikan.
“Kadang-kadang nak jawab macam ini rasa tak selesa, takut orang salah faham dan anggap saya sedang menunjuk. Tapi tidak. Saya benar-benar percaya ia adalah barakah Allah SWT yang diletakkan dalam masa, tenaga dan pekerjaan kita apabila kita meluangkan masa untuk tahajud dan membaca al-Quran,” jelasnya.
Tambah Nadia, dia sendiri sukar untuk menerangkan bagaimana amalan tersebut memberikan lebih banyak ruang dan kemudahan dalam menjalani rutin harian.
Daripada Perjalanan Kehamilan Kepada Empayar Pop Neutral
Untuk rekod, Nadia kini turut memegang jawatan sebagai pengarah Naza Group of Companies. Selain tanggungjawab dalam dunia korporat, Nadia turut mengembangkan jenama penjagaan tubuh miliknya, Pop Neutral, yang kini meraikan ulang tahun kelima.
Menariknya, rangkaian produk tersebut dirumus sendiri olehnya berdasarkan pengalaman peribadi, termasuk ketika melalui empat perjalanan kehamilan yang mencabar.
Perkongsian Nadia ini mengingatkan kita bahawa produktiviti bukan sekadar tentang berapa banyak perkara berjaya diselesaikan dalam sehari. Kadangkala, yang lebih penting ialah bagaimana kita mengurus masa dengan penuh keberkatan. Bak kata pepatah, sedikit tetapi berkat lebih baik daripada banyak tetapi tidak membawa ketenangan.













