Sebuah video tular memaparkan detik mencemaskan seorang remaja lelaki terpaksa berenang sambil menolak tong hitam berisi beg sekolah hanya untuk sampai ke asrama sebelum menduduki peperiksaan SPM.
Video kurang seminit itu meraih perhatian ramai apabila paras banjir begitu dalam sehingga hanya kelihatan dua kepala terapung iaitu remaja berkenaan dan seorang lelaki dipercayai bapanya ketika mereka meredah arus deras.

Menerusi video dimuat naik pengguna TikTok yusoffpelamindanwiring2, laluan utama ke kawasan rumah mereka dikatakan terputus sepenuhnya akibat banjir yang naik mendadak.
@yusoffpelamindanwiring2 air yg dalam, terpaksa juga redah,jln utama terputus, air banjir, semoga along berjaya dlm exzam spm thn ini… amin🤲🤲 #nk balik asrama terpaksa redah banjir, spm2025
Bapa pelajar itu mengatakan situasi tersebut sebagai ujian besar buat anak sulungnya yang bakal menghadapi peperiksaan penting.
“Air yang dalam terpaksa juga kami redah. Jalan utama terputus, air naik tiba-tiba. Semoga along berjaya dalam peperiksaan SPM tahun ini.” tulisnya di dalam video itu.
Selepas video itu tular, muncul pula dakwaan bahawa pihak sekolah tidak menjaga keselamatan pelajar, khususnya calon SPM ketika musim banjir.
Namun, bapa pelajar itu tampil menjelaskan bahawa sekolah tidak bersalah, sebaliknya keadaan banjir berlaku terlalu cepat dan di luar jangkaan.
“Bukan salah sekolah, saya nak hantar ke asrama. Semalam air baru naik,” kata bapanya.
Bagi meredakan kekeliruan, pelajar tersebut tampil dengan memberi penjelasan di dalam ruangan komen Tiktok bapanya.
“Terima kasih atas semua doa. Semoga doa ini menjadikan saya pelajar yang cemerlang. untuk makluman juga pihak sekolah dah menyediakan bantuan tetapi vide ini diambil semasa saya menuju ke asrama yang telah disediakan dari pihak sekolah dan kami sekeluarga memilih untuk hantar saya ke sekolah sendiri kerana banyak jalan yang dah terputus. terima kasih kepada semua pihak termasuk sekolah kerana dah buat yang terbaik dalam membantu kami.

Pelajar itu turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang mendoakan dan membantu mereka.








