Dua anak perempuan Putera Andrew, Puteri Beatrice dan Puteri Eugenie, dilaporkan telah dilarang daripada menghadiri acara perlumbaan kuda Royal Ascot yang berprestij. Larangan ini wujud susulan kaitan ibu bapa mereka, Putera Andrew dan Sarah Ferguson, terpalit dalam skandal Jeffrey Epstein.
Untuk makluman, pengawasan awam terhadap ibu bapa kedua-dua puteri ini telah dipergiatkan sejak Putera Andrew ditangkap pada 19 Februari kerana disyaki melakukan salah laku dalam jawatan awam.
Akibat daripada skandal terbabit, kedua-dua puteri ini tidak dibenarkan menghadiri Royal Ascot yang diadakan pada Jun 2026 depan, termasuk menyertai Perarakan Diraja bersama ahli keluarga diraja lain.
Sumber rapat diraja mengatakan Puteri Beatrice dan Puteri Eugenie terkejut dan tidak menjangkakan keputusan tersebut.
Pada masa yang sama, sumber tersebut turut mendedahkan bahawa Putera William dan isterinya, Kate Middleton mula menjauhkan diri daripada sepupu mereka.
Larangan ini dikatakan sebagai sebahagian daripada keputusan yang lebih luas untuk mengecualikan puteri-puteri Putera Andrew daripada majlis diraja awam pada masa hadapan.
Putera William turut menasihati ahli keluarga diraja yang lain supaya tidak bergambar dengan kedua-dua puteri itu.
Sehingga ke hari ini, wakil Puteri Beatrice dan Puteri Eugenie belum memberi maklum balas rasmi. Sementara itu ibu mereka, Sarah Ferguson dilaporkan berada di Switzerland, menjalani rawatan di Klinik Pemulihan Paracelsus dengan kadarnya mencecah lebih $17,500 (RM68,433.75).
Manakala Putera Andrew pula ditangkap pada hari lahirnya yang ke-66 atas tuduhan menyerahkan dokumen perdagangan sulit negara kepada Jeffrey Epstein. Jika disabitkan kesalahan, dia bakal menghadapi hukuman penjara maksimum seumur hidup.






