Nampaknya, isu tidak hadir ke majlis kahwin pun boleh mencetuskan pelbagai spekulasi! Pelakon Puteri Sarah Liyana akhirnya bersuara selepas timbul tanggapan kononnya hubungan persahabatannya dengan Bella Astillah sedang bermasalah.
Menerusi satu hantaran di Threads, Puteri Sarah meluahkan rasa penat apabila terpaksa menjelaskan perkara yang menurutnya tidak perlu diperbesarkan. Malah, dia turut berkongsi tangkap layar perbualan WhatsApp bersama Bella sebagai penjelasan kepada orang ramai.
“Semua benda nak kena explain, penat,” tulisnya sambil meminta individu yang membuat andaian supaya melihat perkongsian di media sosialnya terlebih dahulu sebelum menjatuhkan hukuman.
Puteri Sarah Dan Bella Astillah, Ini Kisah Sebenarnya
Berdasarkan perbualan yang dikongsikan, Puteri Sarah memohon maaf kepada Bella kerana tidak dapat menghadiri majlis perkahwinan yang berlangsung sehari sebelumnya. Alasannya mudah, dia perlu menjalani penggambaran drama yang sudah menjadi tuntutan kerjaya.
Bella pula memberikan respons yang memahami keadaan tersebut, malah mengakui bahawa komitmen kerja perlu diutamakan.
Daripada perbualan itu, tiada petunjuk jelas yang menunjukkan mereka sedang berselisih faham. Namun, apabila sesuatu perkara melibatkan selebriti, mudah sahaja timbul pelbagai teori daripada perkara yang sebenarnya biasa berlaku dalam kehidupan seharian.
Netizen Minta Jangan Keruhkan Hubungan Mereka
Perkongsian tersebut turut mengundang komen netizen yang berharap hubungan baik kedua-dua selebriti itu tidak terjejas disebabkan spekulasi orang luar. Hakikatnya, dalam dunia media sosial, kita kadangkala terlalu cepat membuat kesimpulan hanya berdasarkan satu kejadian tanpa mengetahui cerita penuh di sebaliknya.
MURAI berpendapat, tidak hadir ke sesuatu majlis bukan bermaksud seseorang itu sudah tidak menghargai persahabatan. Ada kalanya, jadual kerja memang tidak boleh dielakkan.
Jadi, sebelum membuat andaian, bukankah lebih baik kita beri ruang kepada mereka untuk menjelaskan keadaan sendiri? Tak semua perkara perlu dijadikan drama, kan?













