Nampaknya dakwaan mengenai pergolakan rumah tangga pelakon Yusuf Bahrin dan penyanyi rap Zizi Kirana kembali menjadi bualan ramai. Memandangkan ramai yang tertanya-tanya mengenai status rumah tangga pasangan itu, Yusuf tampil menjelaskan keadaan sebenar.
Dalam kenyataan terbaru, Yusuf dengan tegasnya menolak dakwaan tersebut. Akuinya, dia berasa agak keliru bagaimana dakwaan tersebut boleh muncul dan tular dalam kalangan masyarakat.
“Tidak ada apa yang saya nak terangkan di sini, kami okay. Semua dalam keadaan yang baik. Alhamdulillah. Saya pun tak faham kenapa spekulasi (pergolakan rumah tangga) itu timbul. Mungkin orang tak nampak kami kongsi gambar bersama di media sosial.”
Pada masa yang sama, Yusuf mendedahkan dirinya dan isteri, Zizi Kirana telah membuat keputusan untuk tidak berkongsi mengenai kisah rumah tangga mereka demi menumpukan perhatian kepada kerjaya masing-masing.
“Kami memang sengaja tidak berkongsi apa-apa di media sosial buat masa ini. Masing-masing fokus pada kerja. Biarlah orang nak buat spekulasi sendiri. Apa yang penting saya okay tak perlu risau.”
Tambah pelakon itu lagi, dakwaan itu berkemungkinan timbul kerana orang ramai terutamanya peminat mengambil berat akan mereka. Walau bagaimanapun, Yusuf hargai keprihatinan peminat dan meminta mereka untuk mendoakan kebahagiaan rumah tangganya.
“Saya lebih selesa begini. Awal-awal dulu bila timbul gosip macam ini kita terkejut juga tetapi lama-lama sudah terbiasa dan tidak menjadi masalah untuk saya. Saya tahu peminat mahukan yang terbaik untuk kami. Saya minta doakan yang baik-baik sahaja.”
Untuk rekod, Yusuf Bahrin dan Zizi Kirana mendirikan rumah tangga pada 19 September 2021 selepas berkenalan ketika bekerjasama dalam sebuah program hiburan ‘All Together Now Malaysia‘.






