GWM Malaysia hari ini secara rasmi menyerahkan GWM WEY G9 Hi4 PHEV pertama yang dipasang secara lokal kepada Dato’ Sri Siti Nurhaliza, sekali gus mencatatkan satu detik penting bagi jenama New Energy di Malaysia.
Majlis penyerahan berlangsung di GWM USJ selepas pelancaran rasmi yang diadakan di MITEC pada bulan Januari lalu. Dalam majlis yang sama, Siti Nurhaliza turut diumumkan sebagai duta rasmi WEY G9. Pelantikan ini meletakkan MPV pintar tersebut sebagai model yang sesuai untuk kegunaan harian seisi keluarga serta urusan profesional.



Menurut wakil GWM Malaysia, penyerahan ini membuktikan keyakinan syarikat terhadap potensi pasaran kenderaan tenaga baharu di Malaysia. Mereka turut menyifatkan personaliti dan imej profesional Siti selari dengan konsep WEY G9 Hi4 PHEV yang menampilkan reka bentuk premium, teknologi pintar serta ciri keselamatan yang lengkap.
Model ini dilengkapi sistem hibrid plug-in Hi4, ruang tiga barisan tempat duduk serta pelbagai ciri keselesaan yang direka untuk memenuhi keperluan keluarga moden dan golongan profesional yang mengutamakan fleksibiliti tanpa mengorbankan prestasi.
Respons Pasaran Menggalakkan
Sejak dilancarkan, WEY G9 Hi4 PHEV dilaporkan menerima lebih 800 tempahan dalam minggu pertama pelancarannya. Angka tersebut menunjukkan sambutan positif daripada pengguna di Malaysia terhadap tawaran kenderaan premium dengan teknologi hibrid.
Harga yang ditawarkan bermula sekitar RM269,800 menjadikannya antara pilihan dalam segmen MPV premium yang kompetitif di pasaran tempatan.
Pelantikan Siti Nurhaliza sebagai pemilik pertama dan duta rasmi juga dijangka memberi impak kepada penjenamaan model tersebut serta meningkatkan lagi perhatian terhadap teknologi dan keupayaan yang ditawarkan oleh WEY G9 Hi4 PHEV.






