Nampaknya perselisihan faham antara pelakon Nabila Huda dan lagenda rock Datuk Amy Search masih belum menjumpai jalan penyelesaian. Menurut kenyataan terbaru Nabila, atau lebih mesra disapa Abil, mendedahkan bahawa dia telah mencuba pelbagai cara untuk menyelesaikan kemelut dengan bapanya, tetapi tidak berjaya sehingga ke hari ini.
Walaupun tidak rapat seperti dahulu, Abil percaya peranan bapanya sebagai ketua keluarga boleh menamatkan segala kemelut dan perselisihan faham antara mereka.
“Soal untuk berbaik atau mencari jalan penyelesaian, saya rasa lebih baik tanya pihak sebelah sana kerana saya sudah banyak kali jawab soalan ini. Setakat ini, memang tiada jalan penyelesaian. Mungkin sebagai ketua keluarga dan seorang ayah, dia (Datuk Amy Search) yang perlu selesaikan apa yang patut diselesaikan.
Pada masa yang sama, Abil akui tidak dapat membayangkan perasaannya jika berada di tempat bapanya, yang terpisah dengan anak bertahun-tahun.
“Kalau saya berada di tempatnya, kehilangan anak dan tidak dapat berjumpa, saya sendiri tak mampu teruskan hidup seperti biasa. Saya takkan gembira kerana itu darah daging saya. Tapi saya tak tahu apa yang dia rasa. Mungkin dia rasa yang sama, cuma tak tahu bagaimana untuk bertindak.”
Walau bagaimanapun, pelakon itu memilih untuk meneruskan kehidupan dan berdamai dengan takdir. Abil juga menjelaskan dia mahu menumpukan sepenuh perhatian kepada keluarga kecilnya.
“Pada Ramadan kali ini, saya sudah tidak merindui sesiapa. Saya dah ‘move forward’. Kerinduan yang pernah saya luahkan sebelum ini dalam media sosial disebabkan rasa sangat rindu pada waktu itu.
Sekarang saya bahagia dengan kehidupan sederhana saya. Jadi apa yang saya buat hanyalah senyum dan teruskan hidup. Kalau kita berpanjangan dalam kesedihan, kasihan keluarga yang ada di depan mata.”
Namun apa yang kita boleh lakukan adalah, sama-sama berdoa agar hubungan dua beranak ini kembali pulih, inshaAllah!






