Nampaknya video lama pempengaruh Indonesia, Mimi Peri menjadi tular sekali lagi. Menerusi video tersebut, Mimi atau nama sebenarnya Ahmad Jaelani, berkongsi mengenai kehidupan peribadinya yang mengejutkan orang ramai.
Menerusi video yang dikongsi oleh pengguna platform X, Mimi tampil menceritakan mengenai kehidupan peribadinya yang melibatkan hubungan sejenis. Akuinya, dia mengamalkan hubungan sesama jenis dan lebih memilih lelaki yang berasal dari kampung berbanding bandar.
Apabila ditanya mengenai kriteria pemilihannya itu, Mimi mendedahkan alasannya memilih lelaki kampung kerana mereka bebas daripada virus HIV dan kehidupan sosial mereka lebih terjaga. Manakala lelaki bandar pula dianggap ‘kotor’ dan mudah terkena virus tersebut kerana mengamalkan kehidupan bebas.
“Saya takut (HIV), tetapi saya tidak pernah mengambil orang bandar. Jadi saya suka budak kampung. Contohnya kanak-kanak kampung lebih bersih dan tidak menghidap HIV, kerana mereka tahu apa yang mereka lakukan.”
Pengakuan Mimi secara tidak langsung telah menarik perhatian peguam, Advokat Mohamad. Menerusi akaun Instagram dan Threads miliknya, peguam ini meminta mangsa Mimi untuk menghubunginya bagi mengenakan hukuman kepada pempengaruh tersebut.
Pada masa yang sama, beliau juga merayu kepada ibu bapa yang anak-anaknya telah berjumpa dengan Mimi Peri untuk memeriksa keadaan mereka kerana bimbang terdedah kepada virus berjangkit itu.
Video yang tular itu sedikit sebanyak mencetuskan kebimbangan dalam masyarakat Indonesia. Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet mengecam tindakan Mimi Peri dan menuntut keadilan untuk para mangsanya.
Untuk rekod, nama Mimi Peri menjadi sebutan ramai selepas berkongsi video mengejutkan orang untuk bersahur dan memiliki suara yang merdu ketika mengaji Al-Quran.






