Setelah meraih kejayaan demi kejayaan, penyanyi serta pencipta lagu berbakat besar Hael Husaini terus mengorak langkah dalam industri muzik dengan pelbagai inovasi. Terbaru penyanyi ini bergandingan dengan vokalis bersuara unik dari negara jiran Indonesia, Cakra Khan dalam mahakarya terbaru mereka berjudul ‘Terlanjur Cinta’.

Gabungan Dua Label 

Sebelum ini, sekitar 2019 Ketua Label Muzik Rocketfuel Entertainment En Feros telah ke Indonesia untuk berjumpa bersama pihak My Music Records iaitu Pak William untuk berkolaborasi antara Rocketfuel Entertainment dan My Music Records. Selepas kedua dua pihak telah membuat perjanjian, projek pertama antara Hael Husaini dan Cakra Khan telah dilancarkan.

IKLAN

Kolaborasi Yang Menjadi 

Biarpun mengambil masa yang agak lama untuk menyiapkan satu single, ianya adalah bagi menjaga kualiti dan bersesuaian dengan pendengar Malaysia dan Indonesia. ‘Terlanjur Cinta‘ merupakan kolaborasi pertama di antara Hael dan Cakra dan ia mengisahkan tentang cinta yang tak terbalas dari seorang lelaki kepada seorang wanita. Malah ia juga menggambarkan keadaan seseorang yang ‘bertepuk sebelah tangan’ dalam usaha untuk meraih cinta.

Muzik Video ‘Terlanjur Cinta’ pula adalah hasil buah fikiran salah seorang pengarah ternama Indonesia iaitu Upie Guava. Manakala lagu duet berentak balada ini merupakan hasil nukilan David Sam serta Irwan Sutanto dan telah dimuatnaik di laman Youtube pada 26 Februari 2020 dan akan berada disemua platform digital bermula 28 Februari 2020.

Hasil carian Murai.my mendapati klip video muzik lagu tersebut kini telah mencapai 100 ribu tontonan sejak dimuatnaik 3 hari yang lalu dan peminat turut memuji keserasian vokal antara Hael dan Cakra.