Saturday, May 4, 2024

Mahu Elak Emosi Terganggu Dek Perang Gaza Yang Menyayat Hati, Sakinah Berhenti Main Sosial Media

Hari demi hari hampir seluruh dunia dapat menyaksikan pembunuhan kejam beramai-ramai yang dilakukan oleh rejim Zionis terhadap rakyat Palestin.

Apatah lagi, hampir setiap hantaran di media sosial kini berkongsi mengenai realiti semasa yang dihadapi oleh rakyat Palestin sehingga membolehkan seseorang itu melihat foto kematian yang begitu tragis tanpa ada sebarang sekatan maklumat.

Bagaimanapun, umum mengetahui bahawa sebelum ini Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil juga ada mengingatkan pengguna semua platform media sosial di negara ini supaya menjaga kesihatan mental dan emosi masing-masing ketika melayari berita serta gambar dari Gaza.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu turut menasihatkan pengguna yang berasa terganggu dari segi mental dan emosi dengan gambar serta berita yang diterima dari Gaza supaya mendapatkan khidmat kaunseling daripada pakar.

Sebagai contoh, melihat dunia semakin rapuh dengan segala kebobrokan, pelakon Sharifah Sakinah memilih untuk berehat daripada toksik media sosial.

Sakinah atau nama sebenarnya, Sharifah Nurul Sakinah Syed Abu Bakar Al-Khaired berkata, keputusan tersebut terpaksa diambil agar emosi tidak terus terganggu dengan keadaan dunia sekarang.

“Saya tidak akan aktif dalam media sosial sehingga 26 November.

“Dalam tempoh berdiam diri, saya akan mengasingkan diri daripada sebarang berita dan apa sahaja media.

“Sangat menyayat hati apabila melihat keadaan dunia ketika ini.

“Menjaga emosi menjadi keutamaan saya dan tanpa henti menitipkan doa kepada semua yang terjejas disebabkan peperangan serta ketamakan manusia,” katanya dalam Instagram semalam.

Dalam masa sama, bintang drama Kau Yang Ku Gelar Isteri itu turut menegaskan tidak akan menerima sebarang tawaran kerja atau jenama yang menyokong  Israel.

“Kepada keluarga dan rakan-rakan, jangan risau. Anda tahu di mana untuk mencari saya.

“Untuk sebarang urusan kerja boleh e-mel tetapi bukan produk pelangsingan, pemutihan atau sebarang jenama yang menyokong peperangan serta pemanasan global,” katanya lagi.

Sakinah bagaimanapun tidak menyatakan secara terperinci sama ada keputusan berehat tersebut berkaitan perang di Gaza, Palestin yang sudah mengorbankan lebih 11,000 nyawa atau sebaliknya.

+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk kemas kini berita hiburan terkini. 

HOT MINGGU INI