Pelakon dan penyanyi sensasi, Nonny Nadirah, yang kini berusia 35 tahun, kembali membuat persembahan di hadapan khalayak selepas tiga tahun menyepi dari dunia seni.
Nonny, atau nama lengkapnya Nonny Nadirah Zainuddin, menegaskan bahawa tiada istilah ‘rehat’ atau ‘direhatkan’ sepanjang tempoh dia menyepi.
“Perkara ini terjadi secara tidak langsung. Selama tiga tahun saya banyak menyendiri dalam dunia saya sendiri dan tidak bercampur dengan orang. Sekarang baru saya terbuka hati untuk bertemu dengan orang dan terima tawaran membuat persembahan nyanyian”.
“Sukar untuk saya ceritakan apa yang terjadi selama ini kerana perkara ini terlalu peribadi,” kata Nonny ketika ditemui di sebuah festival makanan di Kajang, Selangor”.
Anak jati Kota Kinabalu, Sabah ini juga mengakui bahawa salah satu faktor dia menyepikan diri adalah akibat patah hati selepas putus cinta. Sebelum ini, Nonny pernah dikaitkan dengan aktor Niezam Zaidi.
“Tidak dinafikan, itu antara salah satu faktor. Tetapi dalam masa sama disebabkan keadaan sekeliling. Saya rasa dah tak macam dulu lagi. Ketika saya sertai Akademi Fantasia musim kelima semuanya masih okey. Namun, selepas beberapa tahun saya mula rasa tidak berapa selesa. Tak tahulah mungkin sebab pelakon zaman sekarang tak macam dulu,” jelasnya.
Nonny, yang pernah popular melalui drama Dia Isteri Luar Biasa, kini mengambil pendekatan lebih selektif dalam memilih watak lakonan.
“Apa yang penting untuk saya adalah siapa gandingan serta kumpulan yang saya bekerja. Bukanlah nak kata saya memilih, tetapi kerjasama sebagai satu kumpulan penting untuk mencantikkan sesebuah naskah,” katanya.
Nonny pernah mencetuskan kontroversi apabila memuat naik gambar berendam dalam besen pada 2021. Baru-baru ini, dia kembali mencuri perhatian netizen dengan video membotakkan kepala dan ulasan produk sambil bertuala. Video tersebut mendapat reaksi negatif daripada netizen.
“Video botakkan kepala itu sekadar nak beritahu orang bahawa anda boleh potong rambut sendiri di rumah. Tak payah keluarkan duit pergi kedai. Duit itu mereka boleh simpan atau beli benda lain. Video buat ulasan sambil bertuala itu pula saya sekadar ingin membantu mempromosikan produk tersebut”.
“Tetapi tak sangka video itu telah ditarik semula. Nampaknya selepas ini saya perlu berjaga-jaga. Saya akan lebih selektif dalam membuat ulasan tentang sesuatu produk,” ujarnya.
Nonny juga bingung mengapa dirinya sering menjadi sasaran netizen, sedangkan ada artis lain yang melakukan perkara serupa tanpa kritikan.
“Ada sahaja saya tengok artis lain botakkan kepala dalam Instagram tetapi tak jadi pertikaian netizen. Bila saya buat ramai yang kecoh. Kalau nak kata saya gila perhatian, pada saya setiap orang yang ada akaun media sosial gila perhatian,” katanya.
Mengenai kehidupan peribadinya, Nonny kini masih solo dan belum membuka pintu hatinya untuk mana-mana lelaki.
“Saya tidak bersedia untuk ada apa-apa komitmen. Cukuplah dengan pengalaman lalu. Bukan nak kata saya kecewa atau patah hati, tetapi sebelum ini saya banyak menjaga perasaan dan dahulukan orang lain. Sayangilah diri sendiri terlebih dahulu. Buat apa utamakan orang lain kalau mereka tak utamakan kita,” katanya.
Nonny juga dilihat aktif memperjuangkan nasib saudara Islam di Palestin. Buat pertama kali, dia mencipta lagu yang didedikasikan khas buat Palestin dan akan dilancarkan tidak lama lagi.
Nonny Nadirah kembali dengan semangat baharu dan lebih selektif dalam memilih kerjaya seninya. Walaupun pernah melalui detik sukar dan kontroversi, beliau tetap tabah dan komited dalam memperjuangkan nasib diri serta saudara-saudara Islam di Palestin.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.