Kadangkala, perkara paling menakutkan bukanlah sesuatu yang muncul dari alam ghaib, tetapi manusia yang sanggup melakukan apa sahaja demi memuaskan dendam. Itulah persoalan yang cuba diketengahkan menerusi filem seram Thailand, Confessions Of A Shaman.
Berdurasi 126 minit, karya arahan Nathanon Cholumpi ini bukan sekadar mempertontonkan hantu dan amalan ilmu hitam, sebaliknya membawa penonton menyelami sisi gelap manusia yang berubah akibat pengkhianatan, penderitaan dan ketidakadilan.
Confessions Of A Shaman: Apabila Mangsa Memilih Jalan Gelap
Kisahnya berpusat pada Tor (Alek Teeradetch Metavarayuth), seorang sami muda yang kehidupannya musnah selepas kehilangan ibu serta menjadi mangsa kekejaman individu berpengaruh.
Apabila keadilan gagal diperoleh melalui saluran undang-undang, Tor nekad meninggalkan kehidupan sebagai sami dan berguru dengan Mor Tian (Shahkrit Yamnarm), seorang bomoh berpengaruh.
Dari situ, Tor mula mendalami ilmu hitam termasuk amalan membangkitkan hong phrai, iaitu roh pendamping untuk membalas dendam terhadap individu yang pernah menzaliminya.
Namun, semakin jauh dia melangkah, semakin besar harga yang perlu dibayar. Nampaknya, dendam memang boleh memberikan kepuasan sementara, tetapi kesannya bukan biasa-biasa.
Menurut pengarah Nathanon, hantu dalam filem ini bukanlah watak paling jahat kerana kebanyakannya juga pernah menjadi mangsa ketidakadilan. Sebaliknya, manusia dan dendam yang mampu mengubah seseorang menjadi jauh lebih menakutkan.
Kisah Popular The Ghost Radio, Penampilan BamBam GOT7

Menariknya, filem ini diadaptasi daripada kisah seram popular The Ghost Radio yang mencatatkan lebih lapan juta tontonan.
Selain Alek dan Shahkrit, filem ini turut menampilkan Denise Jelilcha Kapaun, Am Amarin Nitibhon, Boom Ranya Siyanont serta kemunculan khas BamBam daripada GOT7.
Kini ditayangkan di pawagam Malaysia sejak 5 November lalu, Confessions Of A Shaman mengajak penonton berfikir: jika seseorang terlalu lama disakiti, adakah dendam akhirnya menjadikan dirinya sama seperti manusia yang pernah dibencinya?












