“Saya percaya kita tidak perlu kehilangan identiti sendiri untuk diterima di peringkat antarabangsa.”
Itu antara perkara yang ditekankan pengarah Areel Abu Bakar ketika MURAI bertanyakan tentang langkah filem terbaharunya, ABANG – Path To Return, untuk menembusi pentas antarabangsa menerusi tayangan di Asian Film Festival Barcelona, Sepanyol.
Terbitan Layar Pictures itu bakal ditayangkan terlebih dahulu di Barcelona sebelum menemui penonton tempatan. Bagi Areel, peluang ini bukan sekadar pencapaian peribadi, malah satu langkah penting untuk memperkenalkan identiti penceritaan pembikin filem Malaysia kepada khalayak luar negara.
Lebih menarik, filem ini turut mendapat peluang untuk diperkenalkan kepada pelajar di ECIB, Barcelona.
“ABANG Bukan Sekadar Filem Aksi”- Areel Abu Bakar
Ketika MURAI bertanyakan apa yang membezakan ABANG daripada karya-karyanya terdahulu, Areel menjelaskan bahawa filem ini membawa pendekatan penceritaan yang menggabungkan aksi, konflik emosi dan perjalanan spiritual manusia.
Menurutnya, filem yang dibintangi oleh pelakonPelakon Beto Kusyairy ini bukan sekadar tentang pertarungan, keberanian atau menentukan siapa yang menang dan kalah. Sebaliknya, aksi juga boleh menjadi medium untuk menyampaikan kemarahan, kehilangan, kesetiaan dan akibat daripada setiap pilihan manusia.
Menerusi ABANG, penonton bakal dibawa menyelami tema kekeluargaan, pengkhianatan, pengorbanan dan keinsafan. Di sebalik dunia yang keras dan penuh konflik, setiap watak mempunyai sisi kemanusiaan serta perjuangan tersendiri.
Areel turut mahu penonton bukan sahaja tertanya-tanya tentang apa yang bakal berlaku seterusnya, tetapi memikirkan satu persoalan: jika berada dalam situasi sama, apakah pilihan yang akan dibuat?
Baginya, filem yang baik bukan sekadar menghiburkan ketika ditonton, tetapi mampu terus bermain dalam fikiran dan perasaan penonton selepas tayangan berakhir.
Barcelona Jadi Permulaan, Bukan Penamat
Bercerita lanjut kepada MURAI mengenai peluang membawa ABANG ke Barcelona, Areel menyifatkan perjalanan itu sebagai pengalaman bermakna buat dirinya dan seluruh pasukan Layar Pictures.
Dia percaya karya yang lahir daripada pengalaman dan budaya tempatan juga mampu menyentuh hati penonton antarabangsa tanpa perlu mengorbankan identiti sendiri.
Justeru, tayangan di Barcelona dilihat sebagai ruang untuk memperkenalkan perspektif pembikin filem Malaysia kepada khalayak yang lebih luas.
Bagi Areel, perjalanan ABANG ke luar negara bukanlah garisan penamat, sebaliknya permulaan untuk membuktikan bahawa filem Malaysia mempunyai suara dan nilai tersendiri di mata dunia.
Bila ABANG Akan Ditayangkan Di Malaysia?
Buat penonton tempatan yang sudah tidak sabar menantikan ABANG, tarikh tayangan di pawagam Malaysia masih belum dimuktamadkan.
Menurut Areel, pihak produksi masih mencari tarikh dan waktu yang bersesuaian sebelum pengumuman rasmi dibuat dab berkemungkinan pada awal tahun 2027.
Jadi, sementara menunggu filem ini menemui penonton tempatan, tayangan perdananya di Barcelona terlebih dahulu pastinya menjadi satu perkembangan menarik buat industri filem Malaysia.
Mampukah ABANG membuka lebih banyak peluang untuk karya tempatan melangkah ke pentas antarabangsa? Sama-sama kita nantikan perjalanan filem terbaharu Areel Abu Bakar ini.













