Pemergian penyanyi popular Indonesia, Vidi Aldiano pada Sabtu lalu benar-benar mengundang rasa hiba dalam kalangan peminat. Allahyarham dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Jakarta selepas sekian lama berjuang melawan kanser buah pinggang.
Berita pemergiannya bukan sahaja meninggalkan kesedihan, malah kisah perjalanan hidupnya turut menjadi satu pengajaran yang cukup besar buat ramai orang.
Bagi MURAI, kisah hidup Vidi bukan sekadar cerita seorang selebriti yang berdepan penyakit serius, tetapi kisah tentang bagaimana seorang manusia belajar menerima takdir dengan hati yang reda.
Pergi Selepas Bertahun Melawan Kanser
Ketika ramai yang sukar menerima ujian berat seperti penyakit kronik, Vidi memilih jalan yang berbeza. Penyanyi itu diketahui telah berjuang melawan kanser buah pinggang selama beberapa tahun sebelum akhirnya menghembuskan nafas terakhir pada Sabtu lalu.
Sepanjang tempoh tersebut, beliau tetap menjalani kehidupan dengan penuh positif dan sering berkongsi perjalanan serta pemikirannya kepada peminat.
Melihat Penyakit Sebagai “Hadiah Tuhan”

Dalam satu catatan yang pernah dikongsinya sebelum ini, Vidi melihat penyakit yang dihadapinya bukan sebagai musuh, sebaliknya sebagai satu “hadiah Tuhan”.
Dalam perkongsian tersebut, Vidi menjelaskan bagaimana kanser yang dihidapinya selama enam tahun telah mengubah cara dia melihat kehidupan.
Menurutnya, ujian tersebut telah mengubah banyak perkara dalam hidupnya daripada keutamaan, cara berfikir hinggalah kepada cara dia menghargai perkara-perkara kecil yang sebelum ini sering dipandang remeh ketika masih sihat.
Belajar Makna Sabar, Ikhlas dan Berserah
Lebih menyentuh hati, Vidi juga mengakui bahawa melalui ujian itu, dia belajar tentang makna sebenar kesabaran, berserah kepada takdir dan mencintai orang-orang yang benar-benar tulus dalam hidupnya.
Antara kata-kata yang pernah dikongsinya berbunyi:
“Hari ini tepat 6 tahun saya berkenalan dengan hadiah Tuhan berupa kanser. Banyak perubahan sejak hari itu. Banyak keutamaan berubah. Mindset shifted. Dan cara aku melihat dunia, bersyukur akan hal-hal yang sebelumnya tak pernah disedari, dan boleh melihat sebuah ujian menjadi sebuah hikmah, banyak sekali Kamu merubahku.
Terima kasih kanser, kerana kamu, aku belajar banyak selama 6 tahun terakhir. Erti kesabaran, arti berserah, erti ikhlas, dan erti mencintai orang-orang yang genuine, sepenuhnya.
Ku harap, perjumpaan kita boleh berakhir secepatnya sesuai izin dari yang Maha Kuasa. Namun ku menerima penuh kamu menjadi bahagian dari diriku selama 6 tahun belakang ini.”

Kata-kata Yang Tinggalkan Iktibar
Membaca kata-kata tersebut, jelas menunjukkan betapa Vidi menerima ujian hidupnya dengan hati yang penuh keikhlasan.
Bagi MURAI, inilah antara iktibar paling besar yang boleh kita ambil daripada kisah hidupnya. Kadang-kadang manusia terlalu sibuk mengejar dunia sehingga terlupa untuk mensyukuri perkara kecil yang sebenarnya sangat berharga kesihatan, keluarga dan masa yang diberikan.
Pemergian Vidi mungkin satu kehilangan besar dalam dunia hiburan, namun kata-kata dan cara beliau menerima ujian hidup akan terus menjadi inspirasi kepada ramai orang.
Al-Fatihah buat Vidi Aldiano. Semoga segala kebaikan dan kesabarannya sepanjang menghadapi ujian hidup menjadi amal yang berpanjangan.






