Dalam hidup, ada masanya kita perlu melepaskan sesuatu yang disayangi demi kebahagiaan sendiri. Bukan mudah, tetapi itulah antara mesej yang cuba disampaikan penyanyi kelahiran Singapura, Iman Fandi, menerusi EP terbaharunya, Afterglow.
Dilancarkan pada 25 September 2026 di platform penstriman muzik utama, EP ini menjadi antara pencapaian paling bermakna dalam perjalanan seninya sebagai artis bebas.
Afterglow Bawa Mesej Sayangi Diri Sendiri
Menerusi Afterglow, Iman mengangkat tema mengenali nilai diri, membina keyakinan dan berani meninggalkan perkara yang tidak lagi membawa kebaikan.
Menariknya, perjalanan ini bukan sekadar tentang mengejar impian, tetapi turut menyentuh konflik emosi apabila hati masih mahu bertahan dalam sesuatu hubungan, sedangkan akal tahu sudah tiba masanya untuk melangkah pergi.
Bagi MURAI, mesej ini cukup dekat dengan kehidupan ramai orang. Kadangkala, kita terlalu sibuk menjaga perasaan orang lain sehingga terlupa bahawa diri sendiri juga perlukan perhatian.
Menggabungkan elemen pop kontemporari dan R&B moden, EP ini turut mengajak pendengar menikmati perjalanan hidup, meraikan pencapaian kecil dan berseronok bersama teman-teman wanita.
“Perjalanan ini juga tentang menikmati setiap detik dan berseronok sepanjang proses tersebut,” kongsi Iman.
Iman Fandi Semakin Berani Cipta Nama Sendiri
Sebelum Afterglow, Iman terlebih dahulu memperkenalkan tiga single iaitu Tip Toes, Out Of My Mind dan IT IS. Ketiga-tiganya menjadi sebahagian daripada perjalanan yang kini disatukan menerusi EP berkenaan.
Tahun 2026 juga menyaksikan Iman membuat persembahan di Perbarisan Hari Kebangsaan Singapura di hadapan kira-kira 42,000 penonton di Stadium Nasional, selain membuat penampilan sulung di pentas Amerika Syarikat menerusi acara Broadus Together: Superstar Among Friends di Los Angeles.

Sebagai anak legenda bola sepak Singapura, Fandi Ahmad, Iman kini semakin giat membina identiti muziknya sendiri.
Afterglow bukan sekadar koleksi lagu baharu, sebaliknya gambaran seorang anak seni yang semakin matang dan berani menentukan haluannya sendiri. Bak kata orang, yang penting bukan siapa keluarga kita, tetapi sejauh mana kita berusaha mencipta nama sendiri.













