Kalau selama ini Kuala Lumpur sering menjadi persinggahan peminat konsert dari negara jiran, nampaknya skala acara muzik antarabangsa di ibu negara semakin berkembang. Menerusi KL Headline Season 2026, Tourism Malaysia dan Live Nation Malaysia bergabung tenaga untuk menjadikan Malaysia antara destinasi pilihan peminat muzik dunia.
Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada kempen Visit Malaysia 2026–2027 (VM2026–2027), dengan sebanyak 25 konsert antarabangsa dianjurkan di lima lokasi utama sekitar Kuala Lumpur.
KL Headline Season 2026 Tarik Peminat 43 Negara
Lebih menarik, acara ini dijangka menarik kehadiran lebih 600,000 peminat sepanjang musim konsert berlangsung.
Berdasarkan data jualan tiket semasa, pembeli dari 43 negara sudah dikenal pasti, dengan peminat antarabangsa menyumbang 20 peratus daripada keseluruhan jualan tiket.
Antara pasaran yang terlibat termasuk Australia, China, India, Indonesia, Jepun, Singapura, Korea Selatan, Thailand, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Emiriah Arab Bersatu.
Ini membuktikan konsert bukan lagi sekadar acara hiburan. Ada peminat sanggup terbang beribu-ribu kilometer semata-mata mahu melihat artis kegemaran mereka secara langsung.
Ini antara konsert yang bakal gegarkan KL selepas ini.
Konsert Jadi Strategi Tarik Pelancong Ke Malaysia
Menurut Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim, KL Headline Season 2026 membuka peluang untuk memperkenalkan Kuala Lumpur sebagai bandar kosmopolitan selain menggalakkan pelancong melanjutkan tempoh percutian.
Malah, Malaysia merekodkan 32.3 juta ketibaan pelawat antarabangsa dari Januari hingga September 2026, meningkat 2.4 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Jadi, strategi ini nampaknya bukan sekadar menjual tiket konsert. Peluang untuk menikmati makanan tempatan, membeli-belah dan meneroka destinasi menarik turut menjadi sebahagian daripada pengalaman pelancong.
Datang sebab artis, tetapi kalau boleh biarlah pulang dengan kenangan Malaysia. Barulah berbaloi terbang jauh-jauh!















