Tak dinafikan setiap kali tibanya bulan Ramadan, soalan mengenai zakat fitrah mesti menjadi perbualan hangat ramai umat Islam; terutamanya individu yang bekerja jauh dari negeri asal mereka.
Sebelum itu, mari kita fahami apa itu zakat fitrah dan hukumnya. Untuk makluman, zakat fitrah adalah zakat badan yang wajib dikeluarkan oleh setiap umat Islam yang memenuhi syarat, bertujuan untuk menyuci dan membersihkan jiwa orang berpuasa daripada perkara sia-sia sepanjang bulan Ramadan.
Hukumnya adalah wajib fardu ain ke atas setiap lelaki dan perempuan Muslim. Manakala kadar zakat fitrah pula berdasarkan harga satu gantang Baghdad makanan asasi sesebuah negara, seperti contoh negara Malaysia adalah berdasarkan harga beras.
Perlu Bayar Di Negeri Asal Atau Negeri Bermastautin?
Memetik kenyataan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan (WP), zakat fitrah lebih afdal dibayar di negeri bermastautin atau tempat kita berada pada malam Hari Raya Aidilfitri, iaitu selepas waktu Maghrib pada hari terakhir Ramadan.

Walau bagaimanapun, apabila melihat kepada realiti semasa, seseorang itu seeloknya membayar zakat di tempat bermastautin, dan boleh diawalkan untuk mengelakkan daripada terlepas menunaikan zakat fitrah.
“Jika ketika itu individu masih berada di tempat kerja dan belum pulang ke kampung, lebih elok baginya untuk dia bayar di tempat kerjanya kerana ia bersifat yakin dan tahqiq sedangkan kepulangannya ke kampung masih lagi dalam bentuk sangkaan dzan yang mungkin tidak berlaku.”
Adakah Sama Kadar Zakat Fitrah Di Semua Negeri?
Untuk pengetahuan semua, kadar zakat fitrah tidak sama di semua negeri. Setiap negeri di Malaysia telah menetapkan kadar berbeza berdasarkan harga pasaran beras, iaitu makanan asasi di kawasan masing-masing.
Namun pada tahun 2026, kebanyakan negeri telah memperkenalkan kadar berperingkat mengikut jenis berat dimakan oleh isi rumah seperti beras tempatan, beras basmati atau beras import.
Cara Pembayaran Zakat Fitrah
Makluman kepada semua, zakat fitrah boleh dibayar melalui dua cara iaitu:
1. Secara dalam talian
- Portal rasmi zakat negeri
- Aplikasi perbankan
- E-Wallet terpilih seperti MAIWP Mobile, Touch ‘n Go eWalley atau Boost
2. Amil rasmi dan kaunter fizikal
- Kaunter masjid dan surau
- Kiosk zakat
- Kaunter pandu lalu pusat zakat
Penting untuk kamu, jika terlupa untuk membayar zakat fitrah sehingga selesai solat sunat Aidilfitri, hukumnya adalah berdosa. Nasihat MURAI, untuk elakkan lewat atau terlupa membayar zakat fitrah, selesaikannya seawal minggu pertama atau kedua bulan Ramadan.
Semoga bermanfaat!






