Kalau anda fikir fenomena Puteri Gunung Ledang The Musical (PGL) sudah reda, nampaknya anda silap! Sambutan terhadap muzikal ikonik ini masih luar biasa sehingga tiket persembahan tambahan Grand Finale hampir habis dalam masa lima minit sahaja.
Menerusi perkembangan terbaharu pada 9 November, hanya 11 tiket berbaki selepas jualan dibuka, sedangkan lebih 5,500 peminat masih beratur secara dalam talian. Fuh, memang bukan biasa-biasa! Tapi MURAI belum berkesempatan untuk menonton, dan tertanya-tanya apa hebat sangat Puteri Gunung Ledang The Musical ini?
Puteri Gunung Ledang The Musical Catat Lebih 24,000 Penonton
Sebelum ini, kira-kira 23,000 tiket bagi musim asal di Kuala Lumpur berjaya dijual dalam tempoh dua jam. Menjelang tirai terakhir di JeZrey Cheah Performing Arts Centre (JCPAC) pada 17 November 2026, jumlah penonton dijangka melebihi 24,000 orang.
Lebih menarik, fenomena PGL bukan sekadar tentang tiket yang cepat habis. Ramai penonton berkongsi pengalaman, babak kegemaran dan emosi selepas menyaksikan persembahan ini. Ada yang mengaku masih terkena ‘demam PGL’ dan belum boleh move on!
Pengasas Enfiniti merangkap pengarah muzikal ini, Puan Sri Tiara Jacquelina, turut meluahkan rasa terharu dengan sambutan tersebut.
“Saya rasa itu sesuatu yang sangat indah dan menyentuh hati. Kerana sebagai pencerita, itulah sebenarnya yang kita harapkan. Untuk menyentuh perasaan seseorang, membuatkan mereka merasai sesuatu dan membawa mereka masuk ke sebuah dunia yang berbeza, walaupun hanya untuk satu malam,” katanya.
PGL Mungkin Kembali Pada 2027, Jelajah Seluruh Malaysia?
Ada berita yang mungkin membuatkan peminat tersenyum! Enfiniti kini sedang meneroka kemungkinan membawa PGL kembali ke Kuala Lumpur pada 2027, mungkin seawal April.
Bukan itu sahaja, perbincangan awal turut dijalankan dengan pihak berminat di beberapa negeri bagi melihat potensi jelajah seluruh Malaysia.
Bagaimanapun, Tiara menjelaskan perancangan itu masih belum dimuktamadkan kerana produksi berskala besar memerlukan lokasi, kemudahan teknikal dan sokongan rakan kerjasama yang sesuai.
Bagi MURAI, kejayaan PGL membuktikan karya tempatan sebenarnya mempunyai nilai dan kuasa untuk menyatukan penonton pelbagai generasi.
Kalau 5 minit pun tiket hampir licin, bayangkan jika PGL dibawa ke negeri lain. Agaknya negeri mana paling awal patut masuk dalam senarai jelajah ini?













