Kalau anda fikir Renaissance Johor Bahru Hotel hanya menawarkan penginapan mewah, sebenarnya ada beberapa tarikan baharu yang boleh diterokai. Menerusi sambutan Renaissance Day of Discovery 2026, hotel ini memperkenalkan pengalaman yang menggabungkan seni, budaya, kreativiti dan gastronomi tempatan.
Bertemakan Frame & Reveal, inisiatif selama dua hari ini turut dimeriahkan oleh pengamal media dan pencipta kandungan dari Malaysia, Singapura serta Indonesia.
Jadi, apa yang terbaharu di Renaissance Johor Bahru? Ini lima perkara menarik yang anda perlu tahu!
1. Arca Renaissance ‘R’ Kini Jadi Mercu Tanda Baharu

Antara pengenalan utama ialah Renaissance ‘R’ Logo Statue, sebuah arca ikonik yang kini menyambut ketibaan tetamu di hotel berkenaan.
Lebih daripada sekadar hiasan, arca ini melambangkan falsafah Renaissance Hotels yang menggalakkan pelancong meneroka sesuatu destinasi dengan lebih mendalam.
Menurut Hezrin Ali, Assistant Director of Marketing Communication, Renaissance Johor Bahru Hotel, pengenalan arca Renaissance ‘R’ menandakan permulaan fasa baharu buat hotel tersebut dalam menawarkan pengalaman yang lebih bermakna kepada pengunjung.
“Setiap tahun, kami mahu mengajak tetamu untuk lebih mengenali tempat yang mereka kunjungi, bukan sekadar datang menginap. Pengenalan arca Renaissance ‘R’ pula menjadi satu pencapaian istimewa buat hotel kami. Ia melambangkan komitmen kami untuk menawarkan pengalaman baharu dan membantu tetamu meneroka Johor Bahru dengan cara yang mungkin tidak pernah mereka bayangkan sebelum ini,” katanya.
2. Lima Stesen Interaktif Angkat Seni Tempatan
Tetamu juga boleh meneroka lima stesen penemuan yang mengetengahkan seni, hasil kraf, cita rasa dan kreativiti tempatan.
Aktiviti ini memberi peluang kepada pengunjung mengenali keunikan budaya Johor Bahru melalui pengalaman yang lebih interaktif.
3. Dua Koktel Eksklusif Diperkenalkan

Menerusi pengalaman Evenings At Renaissance, hotel ini memperkenalkan dua koktel istimewa iaitu Full of Red dan Silk Road.
Kedua-duanya dihasilkan dengan kerjasama Demitri, pengasas Hats Bar Jakarta yang turut dilantik sebagai Renaissance Evenings Ambassador 2026.
4. Pengalaman Evenings At Renaissance Lebih Meriah

Bukan sekadar menikmati minuman, tetamu turut dihiburkan dengan persembahan muzik secara langsung, hiburan interaktif dan sajian yang diinspirasikan daripada cita rasa tempatan.
Konsep ini menggalakkan tetamu berkenalan, berinteraksi dan menikmati suasana santai bersama pengunjung lain.
5. Eksplorasi Johor Bahru Bersama Pasukan Navigator

Bagi tetamu yang mahu mengenali Johor Bahru dengan lebih dekat, pasukan Navigator hotel turut menyusun pengalaman meneroka lokasi bersejarah, bertemu penggiat seni tempatan dan mengunjungi kawasan kejiranan yang mempunyai identiti tersendiri.
Pendekatan ini membolehkan pelancong melihat JB daripada perspektif masyarakat tempatan, bukan sekadar mengunjungi tempat popular untuk bergambar.
Bukan Sekadar Tempat Menginap
Kesemua pengalaman ini memperlihatkan usaha Renaissance Johor Bahru Hotel untuk menjadikan penginapan sebahagian daripada perjalanan mengenali budaya dan komuniti setempat. Jadi, jika anda berkunjung ke JB selepas ini, mungkin sudah tiba masanya untuk melihat hotel bukan sekadar tempat berehat, tetapi juga sebahagian daripada pengalaman meneroka destinasi.













