Jika sebut tentang percutian dalam negara, destinasi popular seperti Pulau Pinang, Langkawi dan Melaka mungkin terus bermain dalam fikiran. Tetapi, Malaysia sebenarnya mempunyai banyak lagi lokasi menarik yang belum diterokai. Jadi, apa kata kali ini kita cuba destinasi berbeza?
Menerusi kempen Oh Sem Malaysia!, Tourism Malaysia bersama AirAsia MOVE (MOVE) mahu menggalakkan rakyat Malaysia meneroka bandar sekunder dan permata tersembunyi di seluruh negara, selari dengan Kempen Melawat Malaysia 2026–2027.
Menariknya, usaha ini bukan sekadar mengajak orang ramai bercuti, malah menawarkan pelbagai promosi untuk menjadikan pengalaman melancong lebih mesra bajet.
Oh Sem Malaysia! Tonjolkan Destinasi Kurang Dikenali
Menurut Pengerusi Tourism Malaysia, Datuk Manoharan Periasamy, kerjasama ini membuka peluang kepada lebih ramai rakyat Malaysia untuk menikmati keunikan negara sendiri, daripada kepelbagaian makanan tempatan hinggalah keindahan alam semula jadi.
Ketua Pegawai Komersial AirAsia MOVE, Chan Kok Ding pula berkata, platform digital mereka akan membantu memperkenalkan destinasi yang sedang berkembang kepada pelancong, sekali gus memudahkan urusan merancang dan menempah perjalanan.
Maknanya, kalau selama ini kita sibuk mencari tiket murah ke luar negara, mungkin sudah tiba masanya untuk explore tempat menarik di halaman sendiri. Tak semestinya percutian best perlu pasport dan penerbangan berjam-jam!
Pelancongan Domestik Bukan Sekadar Jalan-Jalan
Berdasarkan angka yang dikongsikan dalam pengumuman kempen, Malaysia merekodkan 151.6 juta pelancong domestik pada separuh pertama 2026, meningkat 5.6 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Data itu menunjukkan pelancongan tempatan terus menjadi antara pemacu penting ekonomi negara. Malah, perbelanjaan pelancong turut membuka peluang kepada pengusaha hotel, peniaga makanan, pengusaha aktiviti rekreasi dan komuniti setempat.
Sepanjang kempen Oh Sem Malaysia!, pengguna AirAsia MOVE boleh menikmati tawaran bagi penerbangan, hotel, pakej SNAP! penerbangan bersama hotel, pengangkutan lapangan terbang dan aktiviti tarikan pelancong.
Jadi, sebelum healing jauh-jauh, apa kata kenali dahulu keunikan negara sendiri? Mana tahu, destinasi percutian kegemaran anda yang seterusnya sebenarnya cuma beberapa jam perjalanan dari rumah.












