Telefon pintar boleh lipat bukan lagi sekadar gimik teknologi. Selepas lapan generasi, Samsung terus memperhalusi siri Galaxy Z dengan reka bentuk lebih nipis, ciri multitasking dan pengalaman skrin besar yang semakin praktikal.
Persoalannya, adakah pengalaman selama lapan generasi ini benar-benar memberi perbezaan kepada pengguna, atau sekadar angka untuk nampak gah?
Samsung Galaxy Z Fold8 Lebih Nipis, Ringan Dan Tahan
Antara perubahan ketara ialah Galaxy Z Fold8 yang mempunyai berat sekitar 201 gram dan ketebalan 4.5mm ketika dibuka. Menurut Samsung, pembangunan model ini melibatkan penambahbaikan pada kira-kira 270 komponen serta lebih 100 ujian pengesahan kebolehpercayaan.
Teknologi Flex Titanium dan rangka Advanced Armor Aluminum turut digunakan bagi membantu mengekalkan kekuatan struktur tanpa menambah berat secara berlebihan.
Maknanya, telefon lipat kini semakin mudah dibawa. Namun, jangan pula anggap semua telefon lipat kebal daripada kerosakan. Cara penggunaan dan penjagaan tetap memainkan peranan penting.
Skrin Besar Bukan Sekadar Untuk Menonton
Apa gunanya skrin besar kalau akhirnya hanya digunakan untuk scroll TikTok? Sebenarnya, siri Galaxy Z Fold turut memberi tumpuan kepada produktiviti.
Pengguna boleh membuka sehingga tiga aplikasi serentak melalui Multi Window, manakala Pop-up View membolehkan aplikasi tambahan dibuka dalam tetingkap terapung. Ciri ini berguna untuk membalas mesej sambil menyemak dokumen atau mencari maklumat tanpa perlu berulang kali bertukar aplikasi.
Menurut laporan teknologi SamMobile, reka bentuk skrin Galaxy Z Fold8 juga membantu memaparkan dokumen dan beberapa aplikasi bersebelahan dengan lebih selesa.
Galaxy Z Ada Pilihan Untuk Keperluan Berbeza
Samsung turut menawarkan beberapa pilihan dalam keluarga Galaxy Z, termasuk Flip8 untuk mereka yang mahukan telefon kompak, Fold8 untuk kegunaan harian dan Fold8 Ultra bagi pengguna yang mengutamakan skrin lebih besar serta kamera lebih canggih.
Akhirnya, lapan generasi pengalaman ini menunjukkan telefon lipat semakin matang. Tetapi sebelum melabur dalam peranti premium, fikirkan dahulu sama ada anda benar-benar memerlukan skrin besar dan fungsi multitasking tersebut. Jangan beli semata-mata sebab nampak futuristik!













