Di sebalik kejayaan dan konsistensi Datuk Seri Siti Nurhaliza dalam industri seni, pastinya ada cabaran serta tekanan yang tidak diketahui umum. Namun, bagaimana agaknya penyanyi nombor satu negara itu mampu kekal kuat dan terus relevan sehingga hari ini?
Persoalan itu menarik perhatian pengurusnya, Rozi Sang Dewi, yang berkongsi sedikit pandangan mengenai kepentingan menjaga kesihatan emosi dan mencari ruang untuk diri sendiri.
Kagum Lihat Siti Nurhaliza Sentiasa Kuat
Menerusi satu perkongsian di Threads, Rozi membalas pertanyaan seorang netizen yang mengakui dirinya sedang mengalami burnout akibat tuntutan kerja.
Netizen berkenaan turut meluahkan rasa kagum terhadap Siti Nurhaliza atau lebih mesra dikenali sebagai Tokti yang dilihat sentiasa bersemangat, konsisten dan mampu mengekalkan popularitinya sehingga kini.
Jangan Tunggu Sampai Burnout, Cari Masa Untuk Diri Sendiri
Menjawab pertanyaan tersebut, Rozi mengingatkan bahawa setiap individu mempunyai cabaran tersendiri yang mungkin tidak terlihat oleh orang luar.
Malah, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak terlalu memaksa diri sehingga mengabaikan keperluan emosi dan mental.
“Hehehehe.. janganlah sampai burnout, cari ruang peribadi kita walaupun sebentar, dengan apa yang kita boleh lapangkan minda serta kesesakan dada,” tulisnya.
Menurut Rozi, walaupun ruang untuk berehat itu kecil dan sederhana, ia tetap perlu dimanfaatkan sebaik mungkin.
Allah Tempat Mengadu, Jangan Hilang Semangat
Dalam masa sama, Rozi turut berkongsi pesanan menyentuh hati apabila mengingatkan bahawa setiap orang mempunyai ujian dan perjalanan hidup masing-masing.
Beliau juga mengajak individu yang sedang berdepan tekanan supaya tidak lupa untuk mendekatkan diri kepada Allah dan menjadikan-Nya tempat mengadu.
“Hanya Dia tempat mengadu, merayulah, Allah akan bagi jalan-Nya dengan cara yang kita tak jangka. Semangat tau!!!” tambahnya.
Perkongsian tersebut secara tidak langsung membuka perspektif bahawa di sebalik seseorang yang kelihatan kuat dan berjaya, tetap ada ruang untuk berasa penat serta memerlukan masa untuk diri sendiri.
Jadi, kalau anda sedang melalui fasa burnout, jangan anggap berehat itu tanda anda lemah atau mudah mengalah. Kadangkala, berhenti seketika bukan bermakna kita mahu berputus asa, sebaliknya memberi peluang kepada diri untuk kembali lebih kuat.













