Bila dengar nama negeri Selangor, ramai terus teringat “shopping mall” yang besar, jalan sesak dan suasana bandar yang sibuk. Tapi sebenarnya, Selangor juga ada pantai yang cantik dan sesuai untuk melepaskan rasa penat. Tak perlu pergi jauh atau ambil cuti panjang, cukup untuk “short trip” hujung minggu. Ada pantai untuk jalan santai, ada yang sesuai bawa keluarga, dan ada juga yang terkenal dengan makanan laut segar.
Ini antara pantai di Selangor yang boleh kalian lawati:
1. Tanjung Harapan, Port Klang

Tanjung Harapan ialah kawasan persiaran tepi laut sepanjang lebih kurang 2.5 hingga 3 kilometer. Ia sesuai untuk mereka yang suka berjalan santai sambil menikmati angin laut. Dari sini, kalian boleh nampak kapal besar dan kren pelabuhan Northport yang jadi pemandangan utama kawasan ini.
Aktiviti biasa di sini termasuk jogging, memancing dan melihat kapal lalu-lalang. Terdapat banyak gazebo dan tempat duduk untuk berehat. Ada juga replika kapal Bugis bersaiz sebenar yang sering dijadikan tempat bergambar.

Walaupun berdekatan laut, pengunjung tidak dibenarkan mandi kerana kawasan pesisir dipenuhi batu besar dan tidak mempunyai pantai berpasir.
Kalau datang ke sini, memang rugi kalau tak cuba makanan laut. Antara yang popular ialah Muara Ikan Bakar. Restoran ini dibina atas air, jadi anda boleh makan sambil melihat bot nelayan dan kapal melalui kawasan tersebut. Harga makanan masih berpatutan dan sesuai untuk datang bersama keluarga.
Masuk: Percuma
Waktu operasi: 24 jam
2. Pantai Redang, Sekinchan

Pantai Redang sesuai untuk mereka yang mahukan suasana lebih tenang. Ia terletak tidak jauh dari kawasan restoran makanan laut di Bagan Sekinchan, jadi senang untuk singgah selepas makan.
Pantai ini tidak terlalu sesak dan sesuai untuk berjalan di tepi laut. Ada juga yang datang untuk melihat burung-burung pantai dan mencari ketam pertapa. Tempat ini lebih kepada menikmati alam dan suasana sunyi.
Waktu paling sesuai untuk datang ialah sekitar jam 7 petang kerana kalian boleh menikmati pemandangan matahari terbenam.
Alamat: 25, Jalan JPT, 45400 Sekinchan, Selangor
3. Pantai Morib, Banting

Pantai Morib antara pantai yang sudah lama terkenal di Selangor. Panjang pantainya sekitar 3 kilometer dan sesuai untuk aktiviti keluarga.
Sebahagian kawasan pantai telah dijadikan taman rekreasi yang mempunyai gazebo, taman permainan, pentas kecil dan gerai makanan. Ketika air surut, kawasan pantai menjadi lebih luas dan sesuai untuk berjalan atau bermain pasir.
Aktiviti yang biasa dibuat di sini ialah bermain layang-layang, bola sepak pantai, bola tampar dan berkelah. Di sekitar Morib juga terdapat resort untuk mereka yang ingin bermalam.
Pantai Morib juga mempunyai nilai sejarah kerana pernah menjadi lokasi pendaratan tentera semasa Perang Dunia Kedua pada tahun 1945.
4. Pantai Bagan Lalang, Sepang

Pantai Bagan Lalang sangat sesuai untuk penduduk Kuala Lumpur yang mahu bercuti dekat-dekat. Perjalanan tidak terlalu jauh dan banyak aktiviti boleh dibuat di sini.
Antara yang menarik, ketika air surut, kalian boleh berjalan ke tengah laut sejauh 300 hingga 400 meter. Anak-anak ketam banyak kelihatan di atas pasir, sesuai untuk aktiviti bersama keluarga.
Pantai ini juga terkenal dengan:
- Aktiviti berkhemah
- BBQ
- Bermain layang-layang
- Bola sepak dan bola tampar pantai
- Melihat kapal terbang berlepas dari KLIA dan KLIA2
Selain itu, terdapat banyak restoran makanan laut di sepanjang pantai. Makanan di sini lebih segar kerana dibekalkan terus oleh nelayan tempatan dan harganya juga lebih murah berbanding di bandar.
Fasiliti yang disediakan:
- Tandas awam
- Surau
- Gazebo
- Taman permainan
- Kedai makan
- Tapak perkhemahan
- Mesin ATM
5. Pantai Cunang, Tanjung Sepat

Pantai Cunang antara pantai yang unik di Selangor kerana suasananya yang lebih alami dan tenang. Pantai ini terletak berhampiran kawasan perkampungan Orang Asli Mah Meri dan dijaga sepenuhnya oleh komuniti setempat.
Pasirnya berwarna putih, terutamanya di bahagian atas garis air. Cuma apabila bertemu laut, warnanya akan bertukar sedikit keperangan, seperti kebanyakan pantai di sekitar Selangor.
Menariknya, Pantai Cunang terbentuk kesan daripada tsunami pada tahun 2004. Nama “Cunang” diberikan oleh Orang Asli yang membawa maksud tenang dan damai, sesuai dengan suasana pantai ini yang jauh dari kesibukan dan bunyi bising bandar.
Pada tahun 2015, Pantai Cunang pernah memenangi Anugerah Pantai Angkat Terbaik kerana keunikan serta keindahan semula jadinya.
Di sini, kalian boleh melihat ketam dan ikan belacak di sekitar kawasan pantai dan hutan bakau. Ia juga dikelilingi hutan bakau serta pokok casuarina yang rendang, menjadikan suasana lebih sejuk dan selesa untuk berjalan santai.
Terdapat rumah tradisi Orang Asli di kawasan ini, namun tiada gerai atau kedai makan, jadi pengunjung disarankan membawa bekalan sendiri.
Pantai ini juga dihiasi dengan pelbagai kraftangan daripada bahan terbuang dan pondok-pondok kecil yang dihias menggunakan anyaman daun pandan. Elemen ini menjadikan Pantai Cunang berbeza berbanding pantai lain dan lebih dekat dengan nilai budaya komuniti setempat.
Alamat: Kampung Orang Asli, Tanjung Sepat,
42800 Tanjung Sepat, Kuala Langat, Selangor
Kemudahan yang disediakan:
- Tandas
- Kaunter bayaran
- Gelanggang futsal
- Bakau trail
- Gazebo
- Sumber air bersih dan lampu solar
- Tempat letak kenderaan
- Ruang informasi pelancongan
- Ruang aktiviti untuk Family Day dan sukaneka
Waktu operasi: Bila-bila masa sahaja
Bayaran masuk:
- Dewasa: RM1.00
- Parkir: RM2.00
- Tandas: RM0.50 – RM1.00
- Tapak perkhemahan: RM10.00
Pantai Cunang sesuai untuk mereka yang ingin menikmati pantai dalam suasana yang lebih sunyi, ringkas dan dekat dengan alam. Ia bukan pantai untuk bersantai sambil makan di kafe, tetapi lebih kepada tempat untuk menghargai keindahan alam dan budaya komuniti tempatan.
Kesimpulannya, walaupun Selangor terkenal dengan suasana bandar, sebenarnya banyak pantai yang boleh dijadikan tempat untuk berehat dan luangkan masa bersama keluarga atau kawan-kawan. Ringkas, dekat, dan sesuai untuk percutian singkat tanpa perlu pergi jauh.
Jadi, apa tunggu lagi? Rancang hujung minggu kalian di pantai-pantai cantik Selangor ini dan jalan santai tepi laut, hirup angin segar, cuba makanan laut sedap, serta luangkan masa berkualiti bersama keluarga atau kawan-kawan.






