Ramai yang menggemari aktiviti lasak? Tak kurang juga yang suka aktiviti di hutan seperti berkhemah, jungle trekking dan mengasah survival skill masing masing.
Namun dalam keindahan alam semulajadi dalam hutan tu, ada juga perkara-perkara menyeramkan yang sering dimomokkan oleh buah mulut orang.
Sebab tu kena jaga adab dan pantang larang kalau masuk hutan bak pesan orang tua-tua. Tahukah anda terdapat hutan yang menyeramkan di dunia ini? Jom kita lihat.
Hutan Hoia-Baciu, Romania
Hutan Hoia-Baciu terletak di Transylvania ini menjadi perhatian ramai. Penduduk di bandar Translyvania itu sendiri mendakwa hutan ini memiliki lingkaran di tengahnya seperti sebuah portal yang mirip dengan segitiga Bermuda.
Ia diyakinkan dengan kehilangan seroang pengembala kambing bersama 200 ternakannya yang lenyap begitu sahaja. Hampir kesemua orang yang tinggal berhampiran hutan ini takut untuk masuk ke kawasan hutan ini. Mereka juga percaya bahawa orang yang memasuki ke dalam hutan itu tidak akan dapat kembali lagi.
Hutan Aokigahara
Terkenal dengan gelaran ‘Lautan Pohon’, hutan tebal Aokigahara seluas 32 kilometer di Barat Laut kaki Gunung Fuji, Jepun ini merupakan salah satu hutan yang paling mengerikan di dunia.
Terdapat khabar angin yang mentatakan bahawa kewujudan besi di dalam tanahnya menyebabkan gangguan pada kompas hingga ramai pejalan kaki dan juga penjelajah hutan ini tersesat.
Apa yang paling menyedihkan, hutan tebal ini juga menjadi lokasi membunuh diri yang popular di Jepun di mana lebih 500 kes bunuh diri dilaporkan di hutan itu sejak 1950an.
Berikutan angka bunuh diri yang tinggi di hutan itu, pihak pemerintah Jepun mendirikan sebuah papan tanda larangan membunuh diri di hutan berkenaan.
Penduduk setempat juga mendakwa sering mendengar suara jeritan dari hutan berkenaan yang dipercayai dari roh mereka yang membunuh diri .
Sejak 1970, sebuah pasukan terdiri daripada polis, sukarelawan, dan wartawan ditubuhkan dan ditugaskan untuk menyusur hutan berkenaan bagi mencari mayat mereka yang membunuh diri.
Hutan Hitam (Black Forest ), Jerman
Hutan ini begitu padat dengan pokok pine dan juga cemara hinggakan ia hampir tidak ditembusi cahaya matahari. Ia menjadikan masyarakat setempat percaya bahawa tempat ini ideal sebagai tempat tinggal untuk makhluk mistik seperti serigala jadian dan ahli sihir.
Kisah seram, hantu dan pembunuhan serta sihir di hutan itu turut dipopularkan dalam sebuak buku ‘The Necromancer’ yang diterbitkan pada 1794.
Hutan Wychwood, England
Tangan misteri yang menyentuh bahu orang yang berjalan di hutan ini sendirian serta kereta sorong pasangan suami isteri dan dua anaknya yang terus menangis – merupakan antara penampakan yang sering dilaporkan berlaku di Hutan Wychwood, Oxfordshire.
Yang paling menggemparkan ialah kematian isteri bangsawan Earl of Leicester, Amy Robsart yang ditemui mati dengan lehernya patah. Punca kematiannya masih menjadi misteri hingga hari ini.
Suatu hari hantunya dikatakan bertemu dengan suaminya yang sedang berburu di hutan itu dan menyatakan bahawa suaminya itu akan mati dalam masa 10 hari.
Benar, 10 hari kemudian Earl of Leicester meninggal dunia kerana sakit.
Isla De Las Munecas, Mexico
Hutan ini terletakl di sebuah pulau berhampiran ibu kota Mexico. Apa yang menyeramkan mengenai pulau ini ialah pada setiap pohon di hutan berkenaan tergantung ratusan anak patung yang sangat mengerikan.
Kewujudan patung berkenaan bermula apabila satu-satuinya penghuni pulau berkenaan Don Julian Santana menemui mayat seorang gadis di salah sebuah tali air di pulau itu 50 tahun lalu.
Sebagai penghormatan kepada gadis itu, Don mula menggantung anak patung di sebatang pokok. Anak patung itu kemudiannya terus bertambah hingga mencapai ribuan patung sehinggalah pada tahun 2001, Don Julian Santana ditemui mati lemas di tali air yang sama.
Sejak itu, ramai yang mengganggap anak patung yang tidak lengkap dan bergantungan itu merupakan jelmaan syaitan.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.