Seperti yang diketahui media sosial adalah media berkomunikasi digital yang sangat bermanfaat bagi dunia pergaulan. Media sosial sememangnya satu medium yang tiada batasnya dan bebas menjadi platform untuk dapatkan informasi seluruh dunia, tapi adakah ia baik untuk anak-anak kecil dan remaja?
Mungkin perkara ini menjadi kebimbangan pada ibu bapa. Penyanyi dan pelakon terkenal Ziana Zain turut terkesan dengan permasalahan ini. Ini kerana, menurut Ziana, anak-anaknya iaitu Muhammad Aiman, 17, dan Muhammad Ammar, 13, serta pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 8, juga tidak digalakkan terjebak dengan ketagihan dengan media sosial.
“Anak saya kurang terdedah dengan laman sosial. Dulu, anak pertama saya, Aiman mempunyai laman Facebook. Selepas dia mempunyai laman sosial tersebut, ramai orang yang mahu add Aiman sebagai kawan.
“Kebanyakan orang yang add Aiman merupakan kawan-kawan serta peminat saya, bukannya kawan Aiman. Jadi, dia mengambil keputusan untuk memadam akaun tersebut,” kata Ziana kepada Astro Gempak.
Walaibagaimanapun, Ziana sentiasa berwaspada dengan perkembangan teknologi zaman sekarang dan berharap anak-anaknya tidak terdedah dengan gejala-gejala negatif.
“Kalau boleh saya tak mahu anak saya terdedah dan terlalu leka dengan laman sosial. Namun begitu, perubahan teknologi di zaman sekarang memang sukar untuk saya jangka.
“Saya pun tak tahu apa yang bakal terjadi di masa hadapan. Buat masa sekarang, saya tidak nampak mereka mempunyai minat dan leka terhadap perkara tersebut,” katanya lagi.
Ziana yang berkahwin dengan Armin Zahrin kini dikurniakan empat orang anak. Malah, beliau jarang menonjolkan gambar suami dan anak-anaknya.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.