Kebiasaannya dalam drama-drama yang disiarkan menerusi kaca TV membawakan situasi bagaimana bahagianya jiwa seorang yang dahulunya hidup susah bertukar senang bila dipertemukan dengan keluarga kandung yang kaya raya.
Kasih Sayang Ibu Dan Anak
Namun realitinya harta dan kemewahan bukanlah segala-galanya. Terutamanya bila sejak kecil jiwa si anak yang hidup serba sederhana tumbuh mekar dengan dibajai kasih sayang seorang digelar ibu.
Si anak membawa bersama perasaan kasih sayang dan perhatian diberikan seorang ibu tidak mampu ditukar dengan wang.
Gandingan Dua Figura
Kisah menyayat hati ini melatari drama kekeluargaan bertajuk “Satu Hari Di Bulan Februari” arahan Khairul Anuar Mat Noor, terbitan produksi Cinta Kasih Production.
Drama ini mengisi slot kegemaran ramai, Panggung RTM dan menampilkan lakonan mantap gandingan dua figura pelakon Sazzy Falak dan Aida Aris yang membawakan watak seorang ibu tertukar anak kandung mereka setelah dilahirkan.
Kisah Kekeluargaan
Disiarkan pada 11 Februari ini, pukul 9.00 malam di TV1, ia turut menampilkan pelakon termasuklah Esma Daniel, Geof Andre Feyaets, Fifi Laura Olivia, Heidi Aleesya, dan Aidit Noh.
Perjalanan ceritanya tentang dua wanita iaitu Aminah dan Liz yang terpaksa berdepan dengan dilema berpisah dengan anak masing-masing, Kasih dan Mia. Kejadian yang tidak terduga itu disebabkan anak yang dibela sejak tujuh tahun yang lalu tertukar ketika dilahirkan.
Lalu kedua-dua dibesarkan tanpa mengetahui situasi sebenar yang hakikatnya mereka telah tertukar dengan ibu kandung masing-masing.
Bagi anda yang terlepas untuk menonton rancangan di TV1, anda berpeluang menontonnya menerusi RTMKlik (rtmklik.rtm.gov.my).
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.