Pelakon filem popular, Beto Kusyairy mengakui akan bersikap profesional sekiranya diminta untuk tidak bebaju di dalam filem asalkan pengarah mampu memberikan alasan yang kukuh.
Menurut aktor berusia 43 tahun itu, dia juga akan meneliti kesesuaian sesebuah naskhah itu termasuk sama ada relevan atau tidak untuk dia perlu menanggalkan baju demi menyokong sesuatu babak.
“Saya tengok dahulu keperluan sesuatu babak. Tapi tidaklah sampai keterlaluan sehingga membuatkan penonton ghairah.
“Pengarah perlu berikan alasan kenapa memerlukan saya tidak berbaju. Jika alasannya kukuh dan tidak melanggar sensitiviti, saya akan bersikap profesional. Saya seorang pelakon,” katanya.
Selain itu, pemegang trofi Aktor Filem Popular Anugerah Bintang Popular 35 ini berpendapat, usianya yang telah menjangkau angka 40-an juga bukan penghalang jika diminta pengarah untuk membina badan.
“Saya suka benda yang realistik. Kalau kena dengan karakter, saya tiada masalah untuk bina badan. Cuma, saya perlu masa kerana ia melibatkan komitmen. Bina badan ini 50 persen sahaja ke gim selebihnya jaga makan.
“Bila sebut hero orang akan membayangkan badan tegap, sasa untuk orang percaya kepada kebolehannya. Bagi saya dari aspek visual perkara ini penting. Cuma dalam siri ini, ia tidak memerlukan hero seperti itu dan kami juga kesuntukan masa,” tambahnya.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.