Masyarakat dunia digesa supaya berlaku adil serta tidak bertindak pilih kasih dalam konflik Palestin-Israel yang memuncak ketika ini.
Raungan menyayat hati dan rintihan pilu pesakit, kebanyakannya kanak-kanak, bergema di hospital serata Gaza yang kini terpaksa melakukan pembedahan hanya diiringi doa kerana kehabisan ubat bius dan penahan sakit.
Memetik sebuah laporan berita online, seorang kanak-kanak, Orheen Al-Dayah, dilihat menjerit kesakitan memanggil ibunya di Hospital Al-Shifa kerana terpaksa menahan sakit apabila dipegang jururawat ketika doktor menjahit luka di kepala, tanpa sebarang ubat bius atau penahan sakit.
Menurut perkongsian jururawat, Abu Emad Hassanein, suasana itu merupakan detik paling buruk bagi sektor perubatan di gaza sepanjang ingatannya.
Beliau menyifatkannya sebagai perjuangan paling mencabar untuk menangani kebanjiran mangsa yang cedera dan kekurangan ubat penahan sakit sejak perang di Gaza tercetus sebulan lalu.
“Kami terpaksa memberi sebahagian daripada mereka kain kasa steril untuk digigit bagi menahan sakit.
“Kami tahu bahawa kesakitan yang mereka (kanak-kanak) rasai tidak dapat sesiapa bayangkan, melebihi apa yang dialami oleh rakan seusia mereka di negara lain,” katanya.
Sementara itu, seorang mangsa yang cedera akibat terkena serangan udara, Nemer Abu Thair, berkata dia tidak diberikan ubat bius atau penahan sakit apabila lukanya dijahit.
“Saya terus membaca Al-Quran sehingga mereka selesai merawat,” katanya.
Pengarah Hospital Al Shifa, Mohammad Abu Selmeyah, berkata apabila terlalu ramai orang cedera dibawa ke hospital, pihaknya hospital tiada pilihan selain merawat mereka di atas lantai.
Beliau mendakwa selepas letupan yang berlaku di Hospital Al Ahli Arab pada 17 Oktober lalu, kira-kira 250 orang yang cedera tiba di Hospital Al Shifa dan ketika itu, hospital berkenaan hanya mempunyai 12 dewan bedah sahaja.
“Sekiranya kami menunggu untuk membedah mereka satu demi satu, kami akan kehilangan ramai yang cedera.
“Kami terpaksa melakukan pembedahan pada mangsa tanpa bius di atas lantai selain menggunakan bius ringkas atau ubat penahan sakit yang lemah untuk menyelamatkan nyawa mereka yang tercedera” katanya
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.