Dulu, kedatangan pelarian Rohingya ini disambut atas ihsan dan prihatin masyarakat tempatan yang terkesan mendengar rintihan dan penderitaan dialami mereka.
Namun, kini selepas dibenarkan tinggal atas dasar kemanusiaan, mereka mula menunjuk ‘belang’ hingga menimbulkan rasa kurang senang dan menyampah masyarakat tempatan.
Terkini pelarian Rohingya Myanmar kini menghadapi dilema dan penolakan di Indonesia berikutan masyarakat serantau mengatakan mereka sudah muak dengan lonjakan bilangan bot yang membawa etnik minoriti yang teraniaya itu ke perairan mereka.
Sejak November lalu, lebih 1,200 etnik Rohingya mendarat di Indonesia, menurut data daripada Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) dengan sekurang-kurangnya ketibaan terbaharu 300 orang lagi pada hujung minggu lalu.
“Masih ramai orang miskin di sini,” kata Ella Saptia, 27, penduduk Pidie di wilayah Aceh, yang mana orang ramai bersimpati dengan lelaki, wanita dan kanak-kanak dalam kalangan pelarian Rohingya yang dibawa dengan bot usang selama bertahun-tahun.
“Kenapa kita perlu menjaga ribuan Rohingya yang menimbulkan banyak masalah?
“Mereka mempunyai pengaruh buruk. Sesetengah daripada mereka melarikan diri, dan terbabit dalam hubungan seks di luar perkahwinan dan dadah,” katanya lagi.
Sehingga kini Jurucakap Kerajaan Aceh tidak memberikan sebarang ulasan.
Tahun ini pelarian menghadapi permusuhan dan ancaman bahawa bot mereka akan diusir kembali.
Minggu lalu, penunjuk perasaan di pulau Sabang di Aceh mengalihkan khemah yang didirikan sebagai tempat perlindungan sementara bagi Rohingya, seperti disiarkan di televisyen tempatan dan mengancam untuk menolak bot mereka kembali ke laut.
Sementara itu, memetik sebuah laporan berita online, jurucakap Asia untuk UNHCR memaklumkan agensi itu ‘mengambil perhatian’ dengan laporan itu, yang boleh membahayakan nyawa penumpang bot.
Kecenderungan ketibaan bot yang meningkat antara November dan April, susulan keadaan laut lebih tenang, membuatkan etnik Rohingya menaiki bot ke negara jiran Thailand dan Indonesia serta Malaysia yang majoriti penduduknya beragama Islam.
“Terlalu ramai etnik Rohingya di Aceh.
“Tahun ini saja ratusan tiba, bahkan jumlah itu mencecah ribuan,” kata Desi Silvana, 30, seorang lagi penduduk yang tinggal di kawasan itu.
Menurut media, kira-kira 135 pendatang Rohingya yang tiba hujung minggu lalu sudah dipindahkan ke pejabat gabenor wilayah selepas masyarakat di daerah Aceh Besar menolak ketibaan mereka.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.