Umum mengetahui bahawa situasi banjir di negeri-negeri pantai Timur semakin terjejas. Terkini jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memaklumkan telah menyediakan tiga helikopter bagi membantu operasi menyelamat mangsa banjir di Pantai Timur susulan keadaan bencana itu yang semakin buruk.
Bagaimanapun pihak polis menafikan dakwaan orang ramai yang mengatakan keadaan di negeri Kelantan ini kini semakin lumpuh susulan banjir teruk yang melanda Pasir Mas dan Rantau Panjang ketika ini.
Memetik laporan Kosmo, Timbalan Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Superintandan Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, bencana kali ini dilihat tidak seburuk seperti kejadian sebelum ini.
Katanya, setakat ini, sebanyak 24 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka yang menempatkan seramai 7,698 orang.
“Banjir yang berlaku di Pasir Mas dan Rantau Panjang sebelum ini pernah mencecah 11,000 mangsa yang ditempatkan di 40 buah PPS.
“Justeru, orang ramai diharap tidak memberi gambaran yang salah mengenai situasi banjir ketika ini. Sebarang pertanyaan boleh berhubung dengan pihak polis,” katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Repek hari ini.
Mengulas lanjut, Nik Aminuddin memberitahu, operasi menyelamat dan memindahkan mangsa banjir masih diteruskan melibatkan anggota bomba, polis, tentera, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART).
Tambahnya, keadaan paras air dalam keadaan mendatar dengan Sungai Golok masih berada pada paras 11.04 meter.
“Dijangka ada lagi mangsa yang akan berpindah ke PPS. Selain itu, Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang ditutup kepada semua kenderaan ringan berikutan air naik setinggi satu meter,” katanya.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.