Belajar mengaji pada usia lanjut adakalanya membibitkan perasaan malu bagi segelintir orang. Namun, rasa itu sepatutnya tidak perlu ada kerana ia melibatkan perihal menuntut ilmu terutama berkaitan agama. Sementelah, menuntut ilmu itu merupakan kewajipan ke atas setiap insan.
Ya, barangkali perasaan itu terbit kerana sifat rendah diri mereka yang buta huruf, merangkak-rangkak mahupun tidak fasih dalam soal hukum tajwid.
Namun, ketahuilah itu hanya pandangan kita semata-mata. Hakikatnya tanggapan itu hanya akan merugikan diri. Walhal, ALLAH SWT telah menjanjikan ganjaran buat hamba-hamba-NYA yang tidak lancar membaca al-Quran, tetapi masih berusaha mempelajarinya.
Berbahas soal ini, pendakwah dan selebriti, Shamsul Ghau Ghau mendedahkan terpaksa menggunakan kesemua wang simpanan berjumlah RM300,000 bagi menampung kos sara hidup keluarga sepanjang tempoh 10 tahun mengikuti pengajian al-Quran.
Shamsul atau mesra disapa Pak Su berkata, dia turut menjual beberapa aset lain demi menyara keluarga sepanjang tidak terbabit dengan dunia seni.
“Selama tempoh 10 tahun belajar al-Quran duit simpanan saya berjumlah RM300,000 habis digunakan.
“Dua buah rumah yang salah satunya kondominium, kereta dan motor turut saya jual. Semua itu untuk tampung keluarga.
“Contohnya sebulan belanja keluarga saya RM5,000 dan kalau setahun dah jadi RM60,000.
“Jadi bayangkan selama 10 tahun tidak terbabit dengan dunia seni, macam mana nak dapat duit. Kenalah guna apa aset yang ada,” katanya.
Menurut Shamsul, dia kini sudah mendapat sijil tauliah sebagai penceramah dan berharap pintu rezekinya akan semakin terbuka luas.
“Saya hilang kerja dan tiada tawaran dalam industri selama 10 tahun. Tempoh itu memang saya gunakan untuk mempelajari al-Quran.
“Saya dapat tawaran belajar al-Quran di Mesir, tapi hasrat itu terpaksa dilupakan kerana anak saya masih belajar dan ada yang ambil Sijil Pelajaran Malaysia.
“Tujuan ambil tauliah bukan nak riyak, tetapi ingin buktikan sesiapa sahaja boleh belajar al-Quran tanpa mengira had umur. Apa yang penting adalah fokus.
“Alhamdulillah sekarang saya dapat buat kemunculan semula dalam industri seni. Anak-anak pun makin besar, jadi saya perlu mencari rezeki demi kelangsungan hidup,” katanya.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.